KUALA LUMPUR: Penubuhan persatuan tidak memadai jika tiada akses kepada mekanisme perundingan kolektif diberikan seperti dinikmati kesatuan sekerja.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja E-Hailing dan Industri Sekutu Semenanjung Malaysia (NUEW), Zulkifli Othman berkata, persatuan di bawah Akta Pertubuhan 1966 hanya boleh menyuarakan pandangan dan menjaga kebajikan ahli, tetapi tidak mempunyai kedudukan sama dalam perundingan kolektif di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
“Memberikan ruang untuk bersuara tetapi menafikan akses kepada mekanisme perundingan kolektif seolah-olah membenarkan kami bersatu sambil memotong sayap perwakilan kami,” katanya dalam sidang akhbar Inisiatif Penubuhan Kesatuan Pemandu E-hailing Malaysia di Dewan Orang Ramai Sri Pinang, Cheras pada hari ini, di sini.
Beliau berkata, usaha menubuhkan kesatuan itu terhenti apabila permohonan pendaftaran NUEW ditolak melalui surat bertarikh 26 Ogos lalu kerana Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) berpendirian pemandu e-hailing tidak memenuhi takrif “pekerja” di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan permohonan itu tidak lengkap serta tidak teratur.
“NUEW telah mengemukakan rayuan bertarikh 14 Oktober kepada Menteri Sumber Manusia dan kami bersedia bertemu Menteri dan Jabatan untuk menerangkan sendiri keadaan pekerjaan pemandu serta memberikan maklumat tambahan.
“Kami tetap berharap perkara ini dapat diselesaikan melalui proses rayuan,” katanya.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pihaknya meminta Menteri Sumber Manusia mengetepikan keputusan penolakan Ketua Pengarah JHEKS dan meluluskan pendaftaran NUEW demi mengimbangi kedudukan pemandu dengan syarikat platform yang jauh lebih besar.
“Sekiranya rayuan yang dikemukakan pada 14 Oktober lalu itu menemui jalan buntu, kami akan berunding dengan peguam bagi mempertimbangkan langkah undang-undang termasuk memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Akta Pekerja Gig 2025 tidak boleh dijadikan jalan pintas untuk menganggap mereka pekerja gig tanpa terlebih dahulu menilai hubungan sebenar antara pemandu dengan pihak platform.
“Akta itu sendiri membezakan perjanjian perkhidmatan gig daripada kontrak perkhidmatan atau kontrak pekerjaan yang ditakrifkan dalam undang-undang buruh berkaitan.
“Oleh itu, pada pendirian kami, Akta tersebut tidak boleh dijadikan jalan pintas untuk menganggap kami pekerja gig tanpa terlebih dahulu menilai hubungan sebenar kami dengan pihak platform,” katanya. – UTUSAN











