PETALING JAYA: Aeon Bank memperkenalkan ciri Financial Purr-Sona yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pelanggan memahami tabiat kewangan dan meningkatkan keupayaan mengurus wang melalui aplikasi perbankan digitalnya.
Ciri percuma itu dikuasakan oleh Neko Sensei, mentor kewangan peribadi berasaskan AI yang menganalisis aktiviti kewangan pelanggan meliputi simpanan, perbelanjaan, perancangan kewangan serta pembayaran dan pelunasan pembiayaan.
Berdasarkan analisis tersebut, pelanggan akan diberikan satu daripada empat persona kewangan iaitu Tauke Tabung, Planner Pro Max, Boss Anti-bazir dan Hutang Slayer, mengikut corak pengurusan kewangan masing-masing.
Aeon Bank berkata, Financial Purr-Sona direka untuk berubah mengikut aktiviti pelanggan dalam aplikasi berkenaan, termasuk tabiat perbelanjaan, simpanan dan perancangan bajet.
Menurutnya, penggunaan pelbagai kemudahan perbankan seperti Akaun Simpanan-i, Savings Pot, Kad Debit-i, DuitNow QR, Pembiayaan Peribadi-i dan Deposit Bertempoh-i membolehkan sistem membentuk profil kewangan pelanggan dengan lebih terperinci.
“Melalui ciri Level-up, pelanggan juga boleh mendapatkan bimbingan kewangan peribadi secara percuma serta tip pengurusan bajet daripada Neko Sensei bagi membina tabiat kewangan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.
Bagi menggalakkan penglibatan pengguna, Aeon Bank turut memperkenalkan elemen gamifikasi menerusi Neko Sensei dan Financial Purr-Sona, termasuk ganjaran berbentuk baucar untuk pelanggan yang memenuhi syarat ditetapkan.
Bagi tempoh 16 hingga 31 Oktober 2026, pelanggan yang mengaktifkan Financial Purr-Sona berpeluang mendapatkan baucar RM10 Boost Juice, terhad kepada satu baucar bagi setiap pelanggan.
Sementara itu, dari 1 Januari hingga 31 Mac 2027, pelanggan boleh mengumpul 20 Neko Paws melalui penyertaan dalam Neko Missions untuk menebus baucar RM10 FamilyMart.
Pelanggan boleh mengakses ciri tersebut dengan log masuk ke aplikasi Aeon Bank, memilih ikon Neko Sensei pada skrin utama dan melengkapkan kuiz bagi mengetahui persona kewangan masing-masing.
Mereka juga boleh mendapatkan bimbingan melalui ciri Level-up, manakala ganjaran yang dikumpulkan boleh ditebus menerusi bahagian Rewards dan My Voucher, tertakluk kepada terma dan syarat.
Mengulas lanjut, Aeon Bank berkata, sejak pelancaran rasminya pada Mei 2024, bank digital Islamik pertama di Malaysia itu terus memperluas rangkaian produk dan perkhidmatan patuh Syariah bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin mengutamakan kemudahan digital.
“Selain perkhidmatan perbankan peribadi, Aeon Bank turut menawarkan penyelesaian perbankan perniagaan menerusi Aeon Bank Biz untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Antara kemudahan yang ditawarkan ialah Akaun Semasa Bisnes-i, Deposit Bertempoh Biz-i, DuitNow Biz QR, Term Financing-i dan Working Capital Financing-i bagi menyokong pengurusan tunai serta keperluan pembiayaan perniagaan,” katanya.
Tambahnya, bagi produk deposit yang layak, termasuk Akaun Simpanan-i, Savings Pot, Deposit Bertempoh-i, Akaun Semasa Bisnes-i dan Deposit Bertempoh Biz-i, deposit dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit, tertakluk kepada kriteria kebolehinsuransan.
“Perlindungan deposit berkenaan diberikan secara automatik dan percuma kepada pendeposit yang layak,” tambahnya. – UTUSAN











