Pendidikan perlu penuhi keperluan industri

Pendidikan perlu penuhi keperluan industri

SISTEM pendidikan perlu terus diperkasa agar mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berkemahiran dan bersedia memenuhi keperluan dunia pekerjaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAHIRKAN modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berfikiran aras tinggi amat penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi. 

Justeru, sistem pendidikan negara perlu melahirkan pelajar dan graduan yang bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan, malah kreatif, inovatif, mahir berkomunikasi serta memiliki kompetensi yang diperlukan untuk meningkatkan daya saing negara di peringkat global.

Hari ini, kebanyakan syarikat dan majikan mengutamakan kemahiran teknikal, penguasaan teknologi maklumat (IT), kreativiti, inovasi, komunikasi serta keupayaan bekerja dalam pasukan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Keperluan yang sama turut diberi perhatian dalam sektor awam yang menuntut perubahan dan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan.

Pendidikan menjadi tonggak utama dalam membangunkan modal insan yang mampu memenuhi keperluan pasaran kerja dan meningkatkan daya saing negara.

Kajian Persatuan Pengurusan Amerika (AMA) dan Perkongsian bagi Kemahiran Abad ke-21 (2010) mendapati kemahiran komunikasi, kreativiti, inovasi, pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan kerjasama dalam pasukan merupakan antara keupayaan penting yang diperlukan dalam dunia pekerjaan. 

Oleh itu, sistem pendidikan perlu menyediakan landasan yang kukuh untuk melahirkan modal insan dengan kemahiran tersebut.

Kita sering mendengar pelbagai usaha transformasi pendidikan yang dirangka dan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM). Namun, sejauh manakah transformasi ini benar-benar memberi tumpuan kepada keperluan industri dan dunia pekerjaan abad ke-21? 

Walaupun pelbagai perubahan telah dilaksanakan, namun keberkesanannya dalam melahirkan modal insan yang berkualiti dan memenuhi tuntutan ekonomi semasa masih perlu dinilai.

Persoalannya, adakah pembangunan kurikulum negara benar-benar mampu meningkatkan mutu pendidikan dan membolehkan pelajar bersaing di peringkat antarabangsa? 

Sejak sekian lama, transformasi pendidikan dilaksanakan dengan matlamat menyediakan pelajar untuk menghadapi cabaran abad ke-21. Namun, pencapaian matlamat tersebut perlu diukur berdasarkan keupayaan pelajar menguasai ilmu, mengaplikasikan pengetahuan dan memenuhi keperluan dunia pekerjaan.

Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025, KPM menggariskan usaha penambahbaikan sistem pendidikan secara berterusan berdasarkan lima aspirasi, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

PPPM turut menetapkan enam aspirasi murid yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional. 

Penekanan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) turut dijadikan strategi untuk membentuk pelajar yang berpengetahuan luas dan mampu berfikir secara kritis.

Bagi menilai pencapaian sistem pendidikan, pentaksiran antarabangsa seperti Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Antarabangsa dalam Matematik dan Sains (TIMSS) digunakan sebagai ukuran perbandingan prestasi murid antara negara.

PISA menilai keupayaan murid berumur 15 tahun dalam literasi matematik, sains dan bacaan, termasuk kebolehan mengaplikasikan pengetahuan dalam situasi kehidupan sebenar. 

Pentaksiran ini bertujuan menilai sejauh mana murid menguasai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi kehidupan serta menyumbang kepada masyarakat. 

TIMSS pula menilai pencapaian murid dalam matematik dan sains berdasarkan kandungan kurikulum serta kemahiran kognitif. Penilaian ini merangkumi penguasaan pengetahuan, aplikasi dan penaakulan. 

Dianjurkan oleh International Persatuan Antarabangsa bagi Penilaian Pencapaian Pendidikan. (IEA), TIMSS dilaksanakan setiap empat tahun sejak 1995.

Namun, sejauh manakah pencapaian murid Malaysia dalam pentaksiran antarabangsa ini mencerminkan keberkesanan transformasi pendidikan negara? 

Laporan TIMSS 2023 menunjukkan murid Malaysia masih menghadapi kelemahan dalam penguasaan konsep asas matematik dan sains, dari peringkat sekolah rendah hingga menengah. Laporan itu turut menunjukkan tahap efikasi kendiri digital yang sederhana dan rendah dalam kalangan murid.

Jika diteliti laporan terdahulu, TIMSS 2007 turut menunjukkan kemerosotan berbanding 2003. Kira-kira 20 peratus murid Malaysia gagal mencapai tanda aras minimum dalam matematik dan sains pada 2007, berbanding lima peratus dalam sains dan tujuh peratus dalam matematik pada 2003 (KPM, 2012). 

Keputusan PISA 2009 juga kurang memberangsangkan apabila Malaysia berada dalam kelompok sepertiga terbawah daripada 74 negara peserta. Pencapaian ini jauh ketinggalan berbanding murid berumur 15 tahun di Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan China.

Keadaan ini menuntut penelitian terhadap kelemahan yang masih wujud dalam sistem pendidikan negara. Adakah proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) kurang memberi penekanan kepada KBAT? Adakah beban mata pelajaran yang terlalu banyak menjejaskan penguasaan murid? Atau adakah pendekatan pedagogi yang digunakan di dalam bilik darjah masih belum berkesan dalam membentuk keupayaan berfikir?

Amalan pengajaran yang kurang menekankan penyoalan, perbincangan dan pembelajaran berasaskan inkuiri boleh menyebabkan murid sukar mengaplikasikan pengetahuan serta berfikir secara kritis dan kreatif di luar konteks akademik (Abd Rahim, 1999). Oleh itu, setiap murid perlu dibimbing untuk menguasai kemahiran kognitif seperti penyelesaian masalah, penaakulan serta pemikiran kreatif dan inovatif.

 

TVET PERLU MEMENUHI KEPERLUAN INDUSTRI 

Selain itu, keberkesanan penerapan kemahiran teknikal dan vokasional melalui pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) juga perlu dinilai. Sejauh manakah kurikulum TVET yang dibangunkan KPM menyokong Dasar TVET Negara 2030, khususnya dalam meningkatkan kualiti penyampaian latihan, menambah baik bahan rujukan, menyediakan infrastruktur dan peralatan yang sesuai serta memperluas pembelajaran berasaskan industri dan digital melalui pendekatan pembelajaran teradun?

Jika sistem pendidikan benar-benar berkesan dalam melahirkan modal insan yang memenuhi tuntutan abad ke-21, maka isu pengangguran dalam kalangan lepasan sekolah, kolej dan universiti juga perlu diteliti.

Antara kelemahan yang masih dibangkitkan ialah keupayaan menganalisis dan menyelesaikan masalah kompleks, berkomunikasi dengan berkesan, mensintesis maklumat, mengaplikasikan pengetahuan serta membuat generalisasi daripada pembelajaran.

Keadaan ini menunjukkan penguasaan ilmu semata-mata belum mencukupi. Pelajar juga perlu mampu menggunakan pengetahuan dalam situasi sebenar, berfikir secara kritis dan kreatif serta menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan industri dan dunia pekerjaan. -UTUSAN

 

PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini