Fahami realiti harga tiket ECRL

Fahami realiti harga tiket ECRL

PENGUMUMAN tambang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) baru-baru ini b seharusnya disusuli penerangan yang lebih terperinci tentang bagaimana harga boleh berubah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN harga tiket Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) baru-baru ini bermula RM125 bagi perjalanan transit dari Gombak ke Kota Bharu, manakala RM147 bagi perkhidmatan ekspres, menggunakan mekanisme harga dinamik yang membolehkan tambang berubah mengikut waktu perjalanan, tahap permintaan dan ketersediaan tempat duduk.

Ini bermakna seseorang penumpang mungkin membayar RM125 bagi perjalanan tertentu dari Gombak ke Kota Bharu tetapi penumpang lain yang memilih tarikh atau waktu berbeza mungkin perlu membayar lebih tinggi. Harga yang sama juga tidak semestinya tersedia setiap kali pengguna membuat tempahan.

Konsep harga dinamik bukanlah sesuatu yang baharu dalam dunia perniagaan. Industri penerbangan telah lama menggunakannya, termasuk syarikat penerbangan tempatan seperti AirAsia dan Malaysia Airlines. Harga tiket penerbangan berubah mengikut permintaan, musim perjalanan, tempoh tempahan dan ketersediaan tempat duduk.

Memuatkan artikel berkaitan…

Begitu juga dengan perkhidmatan e-hailing seperti Grab yang menggunakan mekanisme harga berubah apabila berlaku peningkatan permintaan, khususnya ketika waktu puncak atau keadaan cuaca tertentu.

Dari perspektif perniagaan, harga dinamik membolehkan organisasi mengurus permintaan dengan lebih berkesan, mengoptimumkan penggunaan kapasiti serta meningkatkan kecekapan hasil pendapatan. Pengguna yang membuat tempahan awal atau memilih perjalanan di luar waktu puncak berpeluang memperoleh harga lebih rendah.

Bagaimanapun, sebahagian besar pengguna pengangkutan awam sudah biasa dengan struktur tambang yang lebih mudah dijangka seperti perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT). Oleh itu, apabila harga RM125 diumumkan, tidak mustahil terdapat pengguna yang menganggap jumlah tersebut sebagai tambang tetap dari Gombak ke Kota Bharu.

Pelaksanaan harga dinamik dalam ECRL boleh dilihat sebagai pendekatan komersial yang mempunyai rasional tersendiri. Pengendali perlu memastikan kelangsungan operasi, mengurus kapasiti penumpang dan menawarkan perkhidmatan yang berdaya saing.

Namun, ECRL juga merupakan projek infrastruktur pengangkutan awam yang mempunyai kepentingan sosial dan ekonomi kepada rakyat. Oleh itu, pertimbangan komersial perlu diseimbangkan dengan aspek kemampuan pengguna dan keadilan harga.

Pengumuman bahawa tambang bermula RM125 seharusnya disusuli dengan penerangan yang lebih terperinci tentang bagaimana harga boleh berubah. Pengguna perlu mengetahui faktor yang mempengaruhi harga, kemungkinan perbezaan tambang antara waktu biasa dengan musim puncak serta mekanisme perlindungan daripada kenaikan yang terlalu tinggi.

Walaupun MRL telah menjelaskan bahawa terdapat mekanisme intervensi bagi mengelakkan tambang meningkat secara berlebihan, namun penjelasan yang lebih mudah difahami tentang pelaksanaannya penting untuk membina keyakinan masyarakat.

Sebagai contoh, pihak pengendali boleh menyediakan simulasi harga perjalanan bagi hari bekerja, hujung minggu dan musim perayaan. Simulasi tersebut tidak semestinya menggambarkan harga sebenar tetapi dapat membantu masyarakat memahami bagaimana sesuatu tambang berubah mengikut keadaan.

Maklumat mengenai harga permulaan, julat harga dan syarat memperoleh tambang lebih rendah juga wajar disampaikan secara konsisten melalui laman web, aplikasi tempahan tiket, media sosial dan bahan promosi.

Langkah ini penting supaya pengguna tidak hanya mengetahui harga termurah yang ditawarkan tetapi turut memahami jumlah yang mungkin perlu dibayar berdasarkan pilihan perjalanan mereka. –UTUSAN

 

PROFESOR MADYA DR. BAHTIAR MOHAMAD

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Hubungan Korporat) Pusat Pengajian Siswazah,
Perniagaan Othman Yeop Abdullah (OYAGSB),
Universiti Utara Malaysia (UUM),
Kampus Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini