APLIKASI navigasi seperti Google Maps dan Waze banyak digunakan untuk mencari arah laluan menuju ke destinasi.
Terbaharu, aplikasi TuJu diperkenalkan bagi menggantikan aplikasi Waze. Kemungkinan juga aplikasi Waze akan diharamkan atas faktor keselamatan negara.
Dalam banyak-banyak aplikasi berkaitan navigasi, saya lebih suka menggunakan kaedah tradisional. Ia merupakan satu kaedah yang amat mudah tanpa perlu menggunakan sebarang gajet.
Kaedahnya ialah dengan menghentikan kenderaan, turun dari kenderaan dan bertanya arah jalan pada manusia.
Di zaman tiada telefon bimbit dan internet dahulu, dengan memandu kenderaan melalui jalan biasa, jika tersesat jalan, kita akan berhenti di stesen minyak, warung, surau dan masjid untuk bertanya arah jalan. Pertanyaan arah jalan merupakan interaksi antara manusia yang jarang berlaku di zaman sekarang, sama ada dengan orang tidak dikenali, rakan mahupun sesama ahli keluarga.
Dengan bertanyakan arah jalan, kita dapat berkenalan, mengenali masyarakat setempat dan menambah sahabat. Mana tahu, jika ada rezeki mungkin bertemu jodoh (lagi).
Sebagai tanda terima kasih, kita boleh tolong mengisikan minyak kereta mereka, beli makanan dan minuman di warung Makcik Kiah serta sedekah RM10 ke dalam tabung surau atau masjid dengan harapan mereka menunjukkan jalan yang tepat.
Misalnya, dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Kuala Perlis untuk menjamu selera di restoran makanan laut sebelum ke Kangar, tiba-tiba kita tersesat jalan selepas Alor Setar di waktu malam. Kita berhenti di tepi jalan untuk bertanya arah jalan. Jangan pula si penunjuk arah jalan berkata, “Jika tuan tersesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan”. Jauh mahu patah balik ke Johor Bahru!
Kita sedia maklum bahawa ada ketikanya aplikasi dan gajet mempunyai masalah teknikal. Ketika itulah kemahiran interaksi antara manusia yang kita pelajari dahulu diterjemahkan.
Jangan malu, segan dan malas bertanya walaupun kita memandu kereta mewah. Malu bertanya, sesat jalan. Buang sifat ego, turun dari kereta dan beri salam.
Bertanyalah apa sahaja dengan sopan dan rendah diri kerana pada ketika itu kita sedang berpijak di atas tanah yang sama dengan mereka. –UTUSAN
MARISSA QT
Kuala Lumpur











