Pengguna Threads fitnah Christy Ng perlu mohon maaf di dua akhbar dalam 4 hari - Utusan Malaysia

Pengguna Threads fitnah Christy Ng perlu mohon maaf di dua akhbar dalam 4 hari

CHRISTY Ng ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berhubung pendengaran permohonan komital berkaitan kes saman fitnah terhadap J. Vikneshvra Rau. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang pengguna Threads untuk menerbitkan permohonan maaf secara terbuka kepada usahawan fesyen, Christy Ng dan syarikatnya di dua khabar dalam masa empat hari.

Hakim Arziah Mohamed Apandi memutuskan perkara itu dalam prosiding pendengaran permohonan komital oleh Christy, 39, sebagai plaintif terhadap defendan, J. Vikneshvra Rau.

Dalam penghakiman ringkasnya, hakim itu berpuas hati bahawa defendan, Vikneshvra Rau, 36, bukan dengan sengaja mengingkari perintah mahkamah, sebaliknya berpunca dari masalah kekangan kewangan dan kesempitan hidup yang dihadapinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Setelah mendengar pihak-pihak terlibat termasuk defendan, saya mendapati terdapat asas bagi apa yang telah dinyatakannya.

“Saya mendapati bahawa plaintif gagal membuktikan melampaui keraguan munasabah yang defendan telah gagal mematuhi perintah mahkamah dan saya menganggap bahawa kegagalannya untuk patuh adalah tidak disengajakan,” kata hakim itu.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu untuk menyediakan kenyataan permohonan maaf itu serta-merta pada hari ini, dengan kandungannya mestilah memuaskan hati pihak plaintif.

Hakim Arziah juga mengarahkan kos penerbitan tersebut didahulukan oleh plaintif sebelum dibayar oleh defendan sebaik sahaja jumlahnya dimaklumkan.

Bagaimanapun, jika defendan tidak mampu membayarnya, kos penyiaran itu akan dijadikan kos tambahan kepada jumlah kos tertunggak yang telah diperintahkan sebelum ini.

Sekiranya Vikneshvra Rau masih gagal untuk melaksanakan perintah itu, mahkamah juga tidak menolak kemungkinan untuk mengenakan hukuman penjara atau denda atas kesalahan menghina mahkamah dan menetapkan dia dipanggil semula pada 2 November ini.

Terdahulu, defendan memaklumkan bersedia untuk mematuhi perintah berkenaan namun berdepan kekangan kewangan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Saya cuma ada RM50 dalam kad Touch ‘n Go malah rumah dan kereta tertunggak selama empat bulan.

“Jika saya tidak bayar bulan ini, pihak bank boleh melelong rumah saya pada bila-bila masa,” katanya ketika duduk di kandang saksi.

Ditanya mengenai pendapatan bulanan, dia menjelaskan masih menawarkan perkhidmatan menulis resume dengan bayaran antara RM150 hingga RM300, tetapi pendapatannya kini terputus akibat kes saman tersebut.

Katanya, dia hanya bergantung pada baki wang yang masih ada, sekali gus menyebabkan dirinya tidak mempunyai sumber kewangan untuk menampung kos penyiaran permohonan maaf di akhbar.

Dalam pada itu, peguam, Foong Cheng Leong menegaskan tindakan defendan jelas menghina mahkamah kerana sengaja memperlekeh Christy di akaun Threads walaupun mengetahui perintah sudah dikeluarkan terhadapnya.

Katanya, selain culas melunaskan ganti rugi yang diputuskan, lelaki itu turut mencetuskan provokasi dengan memainkan isu perkauman menerusi beberapa siri hantaran di media sosial miliknya.

“Agak sukar untuk mempercayai apa yang dikatakan oleh pihak defendan. Setakat ini, tiada sebarang usul difailkan dan beliau juga tidak memfailkan sebarang dokumen untuk membuktikan bahawa beliau berada dalam situasi kewangan yang begitu terdesak.

“Beliau mengatakan bayaran rumah dan bayaran keretanya tertunggak, namun tiada satu pun bukti mengenai perkara itu di dalam fail mahkamah,” katanya.

Pada 25 November 2025, Christy dan syarikatnya memfailkan saman terhadap Vikneshvra Rau atas dakwaan menerbitkan pernyataan fitnah di akaun Threads miliknya, ‘archnionverse’, yang menjejaskan reputasi perniagaan plaintif.

Pada 13 Februari lalu Mahkamah Tinggi mengeluarkan penghakiman ingkar kehadiran terhadap lelaki itu selain membenarkan beberapa relif termasuk mengarahkannya menyiarkan permohonan maaf secara terbuka di akhbar dan akaun media sosial.

Pada 25 Jun lepas, mahkamah juga memberikan ganti rugi global berjumlah RM180,000 dengan RM140,000 dianugerahkan kepada Christy, manakala RM40,000 diberikan kepada syarikatnya.

Bagaimanapun, defendan didakwa ingkar perintah mahkamah apabila hanya menyiarkan permohonan maaf di akaun Threads miliknya pada 19 Mac lalu, namun gagal menerbitkannya di kedua-dua akhbar yang ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini