Ritual mistik: JAIP perluas tinjauan ke Gua Kota Gelanggi

Ritual mistik: JAIP perluas tinjauan ke Gua Kota Gelanggi

GUA Kota Gelanggi terletak kira-kira 30 kilometer dari Jerantut, Pahang sering dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memperluas tinjauan ke Gua Kota Gelanggi di Jerantut, dekat sini susulan kebimbangan terhadap dakwaan kegiatan ritual mistik di gua-gua negeri ini yang boleh menjejaskan akidah umat Islam.

Tinjauan itu susulan penelitian awal di Gua Terang Bulan, Gunung Senyum di sini selepas timbul laporan tentang dakwaan amalan ritual yang dikaitkan dengan kepercayaan mistik dan dibimbangi bercanggah dengan syariat Islam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan berhubung kegiatan berkenaan di Gua Terang Bulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kegiatan tersebut sukar dikesan kerana ia dipercayai dilakukan secara berkumpulan dan hanya pada waktu tertentu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, JAIP mengesan petunjuk amalan mistik di Gua Terang Bulan yang menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan kegiatan berkenaan bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.

Noridzuan meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada JAIP jika mengetahui kegiatan ritual yang dipercayai bercanggah dengan syariat Islam bagi membolehkan penelitian dan tindakan lanjut dilakukan pihak berwajib tersebut.

Sementara itu, Ketua Kampung Gunung Senyum, Azeman Mohamad berkata, tindakan berterusan perlu dilakukan bagi mengelakkan kawasan tersebut disalahgunakan untuk kegiatan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Menurutnya, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bersedia bekerjasama dengan JAIP dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kegiatan sedemikian.

“Namun kegiatan itu sukar dikesan kerana tiada waktu khusus ia dilakukan, selain dipercayai melibatkan kumpulan orang luar yang datang ke Gunung Senyum untuk melancong dan menikmati keunikan alam semula jadi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini