Kecerdasan buatan perlu berpaksikan nilai

Kecerdasan buatan perlu berpaksikan nilai

SINERGI akademia perlu mengimbangi ilmu, teknologi dan adab demi kesejahteraan masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMBUTAN Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya pada 5 Oktober lalu mengingatkan yang kepakaran akademik perlu sampai kepada rakyat.

Majlis yang dirasmikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, membuka ruang untuk menilai hubungan antara kecemerlangan ilmu dengan tanggungjawab sosial.

Pelancaran Rangka Tindakan Sinergi 2026 membawa mesej supaya kolaborasi ilmu, teknologi dan inovasi diperluas antara institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S), politeknik serta kolej komuniti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kepakaran yang disatukan dapat membantu menangani masalah sebenar masyarakat, daripada peningkatan pendapatan peniaga kecil hingga penggunaan teknologi yang selamat. Setiap institusi mempunyai sumbangan yang perlu dihargai.

Skala jaringan ini besar. Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), bagi kemasukan sesi 2026/2027, laluan UPUOnline melibatkan 20 universiti awam, 36 politeknik dan 106 kolej komuniti. Angka ini menggambarkan ruang kerjasama yang luas, di samping penyertaan institusi swasta dengan kepakaran dan jaringan industri masing-masing.

Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 menggariskan 10 lonjakan strategik. Dalam menjayakan sinergi akademia, lima tumpuan pelaksanaan wajar diberi perhatian, iaitu mutu pengajaran, kerjasama merentas disiplin, pecutan pengkomersialan, keterlibatan masyarakat dan pengukuhan ekosistem akademia.

Tumpuan ini perlu diterjemahkan kepada kerja bersama yang mempunyai hasil jelas serta mengambil kira keperluan setempat. Sebagai contoh, usaha membantu pengusaha makanan boleh menggabungkan penyelidik universiti, tenaga pengajar politeknik dan pensyarah kolej komuniti.

Penyelidik menilai keselamatan produk, tenaga teknikal memperbaik peralatan, manakala pensyarah keusahawanan membimbing aktiviti pengendalian perniagaan, inovasi dan pemasaran.

Dalam bimbingan ini, pensyarah keusahawanan membantu pengusaha mengenal pasti keperluan pelanggan dengan lebih tepat, membina model perniagaan, menguji penerimaan produk dan menyusun strategi pertumbuhan.

Pensyarah keusahawanan teknologi pula menerapkan inovasi secara berperingkat, sambil memperkukuh daya saing dan kelangsungan perniagaan.

Mereka membimbing pengusaha dalam menghubungkan hasil penyelidikan dengan peluang pasaran serta menggunakan teknologi yang sesuai untuk pengkomersialan, termasuk platform jualan digital, sistem pembayaran dan pengurusan maklumat pelanggan.

Pakar syariah pula membantu menilai etika urus niaga dan isu halal. Gabungan kepakaran ini menjadikan integrasi ilmu lebih bermakna dengan hasilnya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Dengan itu, potensi hubungan akademia dengan industri jelas kelihatan.

KPT melaporkan Sidang Kemuncak Penyelidikan dan Inovasi Universiti serta Pelaburan (URIIS) 2026 pada 21 hingga 23 September, lalu mengetengahkan lebih 200 teknologi, mencatatkan 120 sesi libat urus, 84 peluang kerjasama industri dan potensi pelaburan RM24 juta.

Potensi pelaburan ini membuka peluang untuk memperkukuh kerjasama antara penyelidik, industri dan pelabur.

Melalui usaha susulan yang terancang, hasil penyelidikan dapat dikembangkan menjadi produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan masyarakat.

KECERDASAN PERLU DIPANDU NILAI

Dalam era kecerdasan buatan (AI), sinergi juga memerlukan keseimbangan antara otak dengan watak. Otak merangkumi kecerdasan, daya fikir dan kebolehan menggunakan teknologi. Watak merujuk kepada adab, amanah, empati serta pertimbangan etika.

Pendidikan pula perlu membentuk kebolehan menilai jawapan, memahami akibat keputusan dan mempertanggungjawabkan penggunaan teknologi kepada manusia yang menerima kesannya.

Dalam bilik kuliah, keseimbangan ini boleh dibina melalui tugasan yang menghendaki pelajar menerangkan proses berfikir, mempertahankan keputusan dan menyatakan sumber rujukan.

Penggunaan AI perlu disertai semakan manusia. Pensyarah boleh menggabungkan masalah industri dengan pengalaman komuniti supaya pelajar memahami keputusan yang kelihatan cekap secara teknikal boleh membawa kesan berbeza kepada pekerja, pengguna dan juga keluarga mereka.

Penekanan ini selari dengan empat nilai teras RPTM, iaitu berpaksikan kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama dan kemampanan. Kemahiran digital perlu berkembang seiring dengan keupayaan bekerjasama dan sikap saling menghormati.

Dalam Islam, ilmu terikat dengan amanah dan tujuan membawa kebaikan. Adab meliputi kejujuran menyampaikan fakta, menghormati hak orang lain dan kesediaan mengakui keterbatasan pengetahuan. Perkembangan teknologi tidak mengurangkan tuntutan ini.

Semakin luas pengaruh sesuatu sistem, semakin besar tanggungjawab manusia yang membina dan menggunakannya. Nilai-nilai Islam seperti amanah, kejujuran dan keadilan perlu diterapkan disetiap peringkat dalam pembangunan serta penggunaan teknologi demi memelihara kesejahteraan manusia.

Penggunaan AI secara bertanggungjawab selari dengan prinsip Islam yang menekankan kejujuran fakta dan penelitian terhadap berita yang diterima.

Pelajar dan pensyarah perlu menyemak sumber asal, mengesahkan statistik serta menilai ketepatan maklumat sebelum menggunakannya dalam pengajaran, penyelidikan atau komunikasi awam. Amalan ini membantu memelihara amanah ilmu serta mengukuhkan kepercayaan masyarakat.

Amanah juga menuntut perlindungan data peribadi, pengiktirafan sumbangan penulis dan penjelasan tentang penggunaan AI apabila diperlukan.

Dalam penyelidikan bersama masyarakat, persetujuan peserta serta kerahsiaan maklumat mesti dihormati. Kejayaan pengkomersialan pula perlu mempertimbangkan keselamatan pengguna dan pembahagian manfaat yang adil.

Tanggungjawab ini mencerminkan adab yang dapat diperhatikan dan dinilai melalui keputusan serta tindakan dalam amalan kerja. Penghayatan nilai tersebut juga menuntut agar ketinggian ilmu disertai kerendahan hati, kejujuran dan keprihatinan terhadap sesama insan.

Ekosistem akademia yang menyokong tanggungjawab ini memerlukan masa untuk membaca, berfikir dan membimbing.

Seruan Zambry supaya institusi mengurangkan beban pentadbiran serta pertindihan pelaporan wajar dilaksanakan. Kerjasama akan lebih berkesan apabila tenaga akademik mendapat ruang untuk menumpukan perhatian kepada pengajaran, penyelidikan dan khidmat masyarakat.

Keluarga pendidikan tinggi perlu dilihat melalui laluan yang bersambung daripada prauniversiti kepada universiti atau pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional, seterusnya kerjaya serta kehidupan bermasyarakat.

Setiap peringkat membawa tanggungjawab membina manusia. Sinergi yang berjaya akhirnya melahirkan insan berilmu, beradab dan bertanggungjawab, yang menggunakan kemajuan teknologi untuk memelihara kesejahteraan rakyat. –UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Syahida Abdullah ialah Pensyarah di Pusat Siswazah Perniagaan Othman Yeop Abdullah (OYAGSB) Kuala Lumpur, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini