PETALING JAYA: Kerajaan membelanjakan sebanyak RM2.97 juta bagi menggalakkan penggunaan teknologi serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh dan kos operasi di ladang kelapa sawit.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, peruntukan tersebut dijangka memberi manfaat kepada 76 kontraktor pekebun kecil.
Bagi memperkukuh kemahiran teknologi, kementerian turut melaksanakan latihan mekanisasi dan automasi sawit yang merangkumi pengendalian peralatan, penyelenggaraan, serta asas keusahawanan.
“Program ini telah dilaksanakan sebanyak lima siri dengan peruntukan RM1.1 juta, yang memberi manfaat kepada 155 peserta dalam kalangan pekebun kecil dan pemain industri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) mengenai kaedah memperkukuh penyertaan pekebun kecil dalam sektor sawit menerusi teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan peluang pendapatan.
Dalam pada itu, Huang turut menjawab soalan tambahan daripada Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) berhubung pelan tindakan khusus untuk mempercepat peralihan industri daripada kebergantungan kepada eksport minyak sawit mentah (MSM) kepada produk hiliran bernilai tinggi.
Beliau menjelaskan, kementerian menerusi Dasar Agromoditi Negara 2021-2030, komited untuk mentransformasikan sektor sawit negara daripada mengeksport bahan mentah kepada pengeluaran produk hiliran bernilai tinggi.
Katanya, strategi tersebut penting bagi melindungi industri domestik daripada ketidaktentuan harga minyak sawit mentah.
“Pelan tindakan khusus yang sedang dan akan terus dilaksanakan merangkumi pembangunan produk nutraseutikal dan farmaseutikal dengan memanfaatkan komponen sawit bernilai tinggi,” ujarnya. – UTUSAN











