Kalah saman, Akmal belum putuskan mahu fail rayuan atau tidak - Utusan Malaysia

Kalah saman, Akmal belum putuskan mahu fail rayuan atau tidak

MUHAMAD Akmal Saleh (kiri) dan isteri, Datin Dr. Fatin Nadhirah Idrus bersama peguam dan penyokong mereka ketika berada di Kompleks Mahkamah Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini untuk mendengar permohonan representasi berhubung pertuduhan kenyataan kontroversi beliau susulan isu Jalur Gemilang, tahun lepas.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh masih belum memutuskan sama ada mahu memfailkan rayuan atau tidak terhadap keputusan mahkamah yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi serta kos keseluruhan RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok selepas kalah dalam saman fitnah sebelum ini.

Menurut Muhamad Akmal, ketika ini, beliau masih berbincang dengan barisan peguamnya mengenai kemungkinan tersebut.

“Insya-Allah, dalam sehari dua ini nanti kita akan beri keputusan mengenai sama ada nak buat rayuan atau tidak,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau sebelum itu hadir ke Mahkamah Majistret di sini untuk mendengar keputusan representasi bagi menggugurkan pertuduhan terhadapnya selepas didakwa mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan kegusaran awam susulan isu Jalur Gemilang, tahun lepas.

Bagaimanapun, permohonan representasi tersebut ditolak oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang dan mahkamah turut menetapkan 4 Januari tahun depan untuk keputusan representasi kedua yang dikemukakan pihak pembelaan.

Sementara itu, Muhamad Akmal sekali lagi meminta kepada orang ramai agar tidak memasukkan wang ke dalam akaun beliau ketika ini.

Katanya, hal ini demikian kerana, jumlah individu yang menyumbang ke dalam akaun peribadi miliknya masih bertambah dan sehingga kini, jumlah itu telah mencecah RM185,000.

“Jadi, saya minta tolong, media-media tolong beritahu kepada orang ramai supaya jangan masukkan lagi duit ke dalam akaun saya sebab duit itu memang saya tak guna dan saya guna untuk diri saya sahaja.

“Duit itu saya akan berikan semula kepada mereka yang memerlukan. Sebabnya, duit untuk saman itu, saya dah jual motor dan ikan talapia, campur dengan duit simpanan saya. Jadi, sudah cukup untuk bayar saman,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini