KUALA LUMPUR: Daripada mengemukakan bukti yang sahih atas dakwaan yang dibuatnya, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli cuba mengalihkan perhatian umum dengan menyaman Datuk Seri R. Ramanan atas dakwaan kenyataan berunsur fitnah, termasuk tuduhan mengaitkan Rafizi dengan rasuah.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzul Hilmi Zainol berkata, tindakan seperti itu adalah seorang politikus yang mahu melarikan diri daripada isu sebenar iaitu mengemukakan bukti yang sahih atas dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan beliau dengan Ramanan terus meminta bukti kerana beliau di pihak yang benar.
“Bagi saya, Rafizi tidak boleh hanya berani membuat dakwaan, tetapi apabila diminta menjelaskan dan mengemukakan bukti, isu itu bertukar menjadi pertikaian undang-undang dengan pihak yang mempersoalkan beliau.
“Saya nak tegaskan, saman-menyaman itu hak beliau. Tetapi jangan sampai tindakan mahkamah dijadikan isu yang menenggelamkan persoalan asal.
“Rakyat nak tahu, apa asas kepada dakwaan yang dibuat sebelum ini? Kalau ada bukti, kemukakan bukti. Kalau ada fakta, bentangkan fakta. Jangan biarkan rakyat terus tertanya-tanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Rafizi mengarahkan pasukan peguamnya memulakan tindakan saman terhadap Ramanan berikutan kenyataan berunsur fitnah dalam sidang media.
Rafizi mendakwa sidang media Ramanan mengesahkan beliau belum mengambil tindakan mahkamah terhadapnya berhubung dakwaan suapan RM9.5 juta.
Rafizi turuy mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen atas dakwaan membuat kenyataan tidak benar di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Dzul Hilmi berkata, Rafizi bukan orang baharu dalam politik dan beliau pernah menjadi Menteri Ekonomi.
Jadi, katanya, standard yang sama mesti terpakai kepada dirinya sendiri. Jangan hanya lantang menuntut orang lain menjawab persoalan, tetapi apabila diri sendiri dipersoalkan, rakyat pula dibiarkan menunggu penjelasan.
“Politik bukan soal siapa paling petah bercakap atau siapa paling cepat membawa isu ke mahkamah.
“Politik soal tanggungjawab terhadap setiap kenyataan yang dibuat kepada rakyat. Kalau kita melemparkan dakwaan yang serius, kita mesti bersedia mempertahankan dakwaan itu dengan fakta,” katanya.
Bagaimanapun, Dzul Hilmi berkata, beliau tidak mahu mendahului mahkamah atau membuat tuduhan yang belum dibuktikan.
Tetapi satu perkara jelas, katanya, tindakan menyaman seseorang tidak dengan sendirinya menjawab persoalan yang dibangkitkan sebelum ini.
“Rafizi perlu faham, rakyat bukan mudah dialihkan perhatian. Rakyat mahu jawapan, bukan polemik dan dendam politik yang tidak berkesudahan.
“Kalau benar dakwaan itu berasas, jelaskan. Kalau tidak, berilah penjelasan yang meyakinkan. Jangan biarkan persepsi bahawa beliau hanya berani menyerang orang lain, tetapi sukar menerima apabila dirinya sendiri dipersoalkan,” katanya. – UTUSAN











