PENULARAN iklan makanan janaan kecerdasan buatan (AI) yang menyasarkan kanak-kanak menyerlahkan jurang baharu dalam ekosistem perlindungan kanak-kanak di Malaysia.
Daripada kemunculan maskot kartun rekaan baharu sehinggalah paparan bijirin janaan AI yang jauh terpesong daripada produk sebenar, dunia pemasaran sintetik kini semakin sukar dikawal.
Berteraskan dapatan konsultasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Kanak-Kanak dalam Dunia Digital baru-baru ini, ancaman pemasaran makanan berteraskan AI wajib ditangani menerusi langkah perundangan dan dasar yang lebih berani demi melindungi masa depan generasi muda.
Isu ini perlu ditangani menerusi dua sudut: Pertama, dari segi sifat pemasaran AI yang dinamik, AI generatif telah mengubah landskap pemasaran secara drastik.
Saiz hidangan dibesar-besarkan, dakwaan kesihatan direka-reka, dan ratusan maskot baharu dicipta secara berterusan tanpa terikat dengan peraturan watak berlesen sedia ada. Malah, ribuan variasi iklan boleh diuji secara spontan oleh algoritma untuk memikat perhatian kanak-kanak.
Kedua, dari aspek beban kesihatan kebangsaan, tinjauan kesihatan kebangsaan menunjukkan hampir tiga daripada 10 kanak-kanak Malaysia berumur lima hingga 17 tahun mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, manakala isu kerdil (bantut) masih berterusan dalam kalangan kanak-kanak yang lebih kecil. Pemasaran manipulatif berasaskan AI ini secara tidak langsung memburukkan lagi krisis gandaan beban pemakanan negara.
Dasar dan Pelan Tindakan Kanak-Kanak Negara 2026–2030 fokus digitalnya lebih condong kepada ancaman eksploitasi oleh pemangsa manusia.
Pelan tindakan negara perlu secara eksplisit mengiktiraf bahawa kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak juga boleh dimudaratkan oleh manipulasi algoritma komersial.
Walaupun Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dan peraturan kesihatan sedia ada menyediakan asas perundangan yang baik, ia belum direka khas untuk mendepani iklan sintetik.
Peraturan pemasaran makanan wajar bersifat neutral teknologi, terpakai secara saksama kepada media cetak, video, pempengaruh, mahupun paparan janaan AI.
Penyedia platform dan pengiklan di Malaysia mesti diwajibkan melabel iklan janaan AI serta mengaktifkan tetapan keselamatan kanak-kanak yang paling ketat secara lalai (by default).
Isu ini memerlukan komitmen bersepadu dalam memainkan peranan mendesak memantau kandungan digital. – UTUSAN
Muhammad Bazli Mahmood & Ahmad Nizam Che Kasim
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis











