PARIS: Polis Perancis menahan hampir 1,000 orang pada Sabtu dalam demonstrasi di seluruh negara, ketika anggota keselamatan berdepan tahap keganasan yang amat tinggi daripada kumpulan pelampau berpakaian hitam, kata Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez.
Beliau berkata, walaupun perarakan membantah kenaikan kos sara hidup di beberapa bandar berlangsung dengan baik, kumpulan kiri ekstrem membaling objek dan menyerang polis dengan menggunakan bunga api bagi mencetuskan pertempuran.
Dua orang mengalami kecederaan serius, katanya.
Seorang daripadanya cedera di bandar Toulouse dengan seorang lelaki berusia 20 tahun dilaporkan putus beberapa jari akibat letupan.
Seorang lagi cedera di Clermont-Ferrand.
Beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai kedua-dua kejadian itu.
Nunez membandingkan angka penahanan pada Sabtu dengan minggu lalu, apabila pusingan pertama demonstrasi di seluruh negara berhubung kos sara hidup bertukar menjadi ganas di jalanan, dengan ratusan kedai dirompak dan 2,700 orang ditahan.
Beliau berkata, hampir 1,000 orang ditahan pada Sabtu, berbanding 385 penahanan pada waktu yang sama minggu lalu.
Beliau turut berkata, walaupun beberapa kedai dan premis perniagaan dirosakkan dan dirompak pada Sabtu, skalanya jauh lebih kecil berbanding minggu sebelumnya.
Beliau menegaskan pusat beli-belah dilindungi dengan baik kali ini.
Dalam pada itu, di Paris, demonstrasi utama berlangsung dengan aman, tetapi pertempuran dengan polis tercetus ketika orang ramai bersurai.
Nunez berkata, beberapa ribu aktivis radikal berkumpul di bahagian belakang perarakan, termasuk kira-kira 500 individu yang dikenal pasti sebagai perusuh.
Pertempuran susulan di ibu negara itu berlangsung kira-kira dua jam, katanya.
Menteri itu berkata, di bandar selatan Cannes dan Montpellier, pihak berkuasa buat kali pertama menyaksikan kehadiran aktivis kanan ekstrem yang cuba mencetuskan pergaduhan dengan militan kiri ekstrem atau mendakwa mereka hadir untuk melindungi premis perniagaan.
Secara keseluruhan, Nunez berkata, keadaan pada Sabtu kelihatan lebih positif berbanding minggu lalu, dengan lebih ramai anggota polis dikerahkan ke jalanan, bertindak lebih pantas, menjalankan lebih banyak pemeriksaan sebelum demonstrasi dan memberikan perlindungan lebih baik kepada premis perniagaan.
Pihak berkuasa akan terus berada dalam keadaan berjaga-jaga tinggi sepanjang malam hingga Ahad, katanya. – AGENSI/AFP











