KEGHAIRAHAN menghabiskan bacaan al-Quran dalam tempoh singkat tidak seharusnya menyebabkan umat Islam mengabaikan ketepatan sebutan huruf, hukum tajwid serta panjang pendek bacaan yang menjadi asas pemeliharaan kalam Allah SWT.
Bagi Imam Tua Masjid Tengku Muhammad Faris Petra, Kuala Krai, Kelantan Ahmad Maher Safiain, keutamaan membaca al-Quran bukan sekadar untuk khatam cepat, sebaliknya memastikan setiap ayat dibaca dengan betul, tenang dan jelas mengikut kaedah yang diajarkan Rasulullah SAW.
Katanya, kesalahan menyebut huruf Arab, termasuk kesilapan baris dan makhraj, boleh mengubah makna ayat al-Quran, sekali gus menunjukkan kepentingan penguasaan ilmu tajwid dalam kalangan umat Islam.
“Allah SWT bukan sekadar memerintahkan kita membaca al-Quran, tetapi turut menuntut supaya ia dibaca dengan tartil, sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Muzzammil ayat 4, yang bermaksud:
Dan bacalah al-Quran itu dengan tartil (memperelokkan sebutan huruf dan mengetahui tempat berhenti).
“Ia merujuk kepada bukan sekadar menekankan kelancaran bacaan, malah menuntut setiap ayat dilafazkan dengan tertib dan penuh ketelitian. Jadi, kita perlu menjaga bacaan supaya tepat dan tidak mengabaikan hak setiap huruf,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurut Ahmad Maher, umat Islam yang masih belum lancar membaca al-Quran juga tidak sepatutnya menjadikan kelemahan itu sebagai alasan untuk menjauhkan diri daripada kitab suci berkenaan.
Sebaliknya, mereka perlu terus belajar dan memperbaiki bacaan kerana kesukaran membaca bukan penghalang untuk memperoleh ganjaran daripada Allah SWT.
Beliau berkata, Rasullah SAW pernah bersabda:
Orang yang mahir membaca al-Quran akan bersama malaikat yang mulia lagi taat, manakala orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tersekat-sekat dan berasa sukar membacanya akan mendapat dua ganjaran. (Hadis riwayat Saidatina Aisyah RA).
Mengulas budaya mengejar khatam al-Quran, Ahmad Maher berkata, usaha menghabiskan bacaan kitab suci itu sememangnya baik, namun tidak seharusnya dilakukan sehingga mengabaikan hukum tajwid, makhraj huruf serta kadar panjang dan pendek bacaan.
Katanya, bacaan yang tertib bermaksud membaca dengan tenang dan jelas, selain memastikan setiap huruf ditunaikan haknya mengikut kaedah yang betul.
“Bagi saya, bukan soal berapa cepat kita hendak menghabiskan al-Quran, tetapi sejauh mana kita dapat menjaga ketepatan bacaan dan mengambil pengajaran daripadanya.
“Usaha untuk khatam al-Quran itu baik, tetapi jangan sampai kita mengorbankan ketepatan bacaan semata-mata mahu cepat selesai,” katanya.
Katanya, usaha melahirkan lebih ramai penghafaz al-Quran perlu bergerak seiring dengan penguasaan bacaan yang tepat supaya aspek kualiti tidak terpinggir.
Ahmad Maher berkata, kaedah talaqqi dan musyafahah, iaitu proses belajar secara bersemuka dengan guru melalui bacaan yang didengar, diperdengarkan dan disemak, kekal relevan meskipun teknologi menawarkan pelbagai aplikasi pembelajaran al-Quran.
Jelasnya, proses semakan oleh guru penting bagi mengenal pasti dan membetulkan kesalahan yang mungkin tidak disedari oleh pembaca sendiri.
“Walaupun terdapat banyak aplikasi untuk belajar al-Quran, guru tetap diperlukan untuk memperbetulkan kesalahan bacaan kita.
“Sehebat mana pun seseorang membaca al-Quran, dia perlu mempunyai sikap terbuka untuk menerima teguran kerana tiada bacaan yang lebih tepat daripada bacaan Rasulullah SAW,” katanya.
Beliau berkata, antara kesalahan yang sering berlaku adalah kesilapan pada makhraj dan sifat huruf, sebutan huruf tertentu seperti ain dan hamzah, bacaan huruf tebal yang disebut secara nipis serta pengabaian hukum panjang dan pendek.
Menurutnya, kesalahan berkenaan perlu diperbaiki melalui latihan bersungguh-sungguh, termasuk mengikuti kelas intensif dan tahsin bacaan bersama guru yang benar-benar berkelayakan.
Ahmad Maher menambah, bacaan cepat tidak semestinya salah kerana ilmu tajwid turut mengenali kaedah hadar, iaitu bacaan pantas yang masih mematuhi hukum tajwid.
Bagaimanapun, katanya, kelajuan tidak boleh dijadikan ukuran utama sehingga menyebabkan pembaca mengabaikan makhraj, sifat huruf dan hukum bacaan.
Beliau mengibaratkan pembelajaran al-Quran seperti seseorang yang belajar memandu kenderaan, iaitu perlu menguasai asas terlebih dahulu sebelum meningkatkan kelancaran.
“Begitu juga dengan al-Quran. Kita perlu membina asas ketepatan bacaan terlebih dahulu sebelum meningkatkan kelancaran.
“Cepat itu boleh, tetapi yang penting sejauh mana kita mampu membaca dengan lancar tanpa mengabaikan hak setiap huruf,” jelasnya.-UTUSAN










