MELAKA: Kerajaan akan terus mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter dengan subsidi ditanggung mencecah RM45 bilion setahun ketika harga minyak mentah dunia melonjak sehingga AS$130 setong.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memilih menanggung peningkatan kos subsidi berkenaan daripada memindahkan beban kenaikan harga minyak dunia kepada rakyat yang berdepan pelbagai komitmen perbelanjaan harian.
Beliau berkata, harga minyak mentah dunia yang sebelum ini berada pada paras AS$70 setong ketika belanjawan tahun lalu dibentangkan kini melonjak kepada antara AS$120 hingga AS$130 setong, sekali gus meningkatkan perbelanjaan kerajaan untuk mengekalkan harga bahan api.
“Kos yang ditanggung oleh kerajaan akan mencecah antara RM42 bilion hingga RM45 bilion setahun, tetapi apa pilihan? Kalau kerajaan terbeban, lebih baik kerajaan terbeban daripada membebankan rakyat dan ibu bapa kita. Itu dasar Kerajaan Madani yang kita pegang.
“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk melindungi rakyat daripada tekanan kenaikan kos sara hidup berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang turut menyebabkan peningkatan harga bahan api di beberapa negara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Madani dan Peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara (NCLAP30) di pekarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kenaikan harga minyak dunia turut memberikan tekanan kepada penduduk di negara lain termasuk di Eropah yang berdepan peningkatan kos kehidupan terutama berkaitan pengangkutan, makanan dan kemudahan kesihatan.
Katanya, bahan api merupakan keperluan penting rakyat untuk urusan harian, termasuk berulang-alik ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah dan mendapatkan rawatan di hospital.
Kenaikan harga minyak secara mendadak menurutnya juga akan meningkatkan beban perbelanjaan isi rumah, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Beliau berkata, peluncuran NCLAP30 mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh usaha menangani kos sara hidup melalui pelbagai inisiatif termasuk program Jualan Rahmah yang membolehkan rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.
Kata Perdana Menteri, usaha mengawal harga barangan tidak boleh bergantung kepada satu pendekatan semata-mata sebaliknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk petani, nelayan dan pekebun bagi memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi serta dapat dipasarkan pada harga berpatutan.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan kejayaan pembangunan negara tidak seharusnya dinilai berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan jumlah pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu diukur berdasarkan keupayaan kerajaan menyelesaikan masalah rakyat.
“Ekonomi yang melonjak itu kita bangga, tetapi kita juga harus melihat sama ada ekonomi yang berkembang itu dapat menyelesaikan masalah rakyat. Kita tidak bercakap hanya tentang angka dan statistik tetapi kita bercakap soal manusia,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan menyeluruh perlu merangkumi aspek kebajikan keluarga, pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan masyarakat, terutama golongan berpendapatan rendah yang berdepan tekanan kos kehidupan. – UTUSAN











