Allah mengabadikan sabdaan Nabi Allah Yaakub kepada anak-anak lelaki baginda agar mereka tidak berputus asa sama sekali daripada rahmat Allah SWT.
Ini dijelaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: Wahai anak-anakku. Kamu semua pergilah lalu carilah khabar berita tentang Yusuf dan saudara lelakinya dan janganlah kamu semua berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tidaklah akan berputus asa daripada rahmat Allah melainkan hanyalah kaum yang kafir. (Yusuf: 87)
Ayat ini menuntut kita semua agar tidak berputus asa sama sekali daripada rahmat dan kasih sayang Allah walau seberat manapun ujian yang melanda kerana Allah sama sekali tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya.
Gembira Dan Duka
Menurut al-Sheikh ‘Aliyy Jum’ah; sepanjang hidup di dunia ini, kita akan dikurniakan kegembiraan atas nikmat diterima dan kita juga akan bersedih dengan musibah yang melanda. Kesedihan dan kegembiraan bukanlah satu kesalahan.
Namun bergembira sehingga melakukan kerosakan di atas muka bumi adalah satu kesalahan. Bersedih juga bukanlah satu kesilapan tetapi bersedih sehingga menyendiri dan menjauhi manusia adalah satu kesalahan.
Al-Sheikh ‘Aliyy Jum’ah turut menyatakan bahawa apabila seseorang putus asa, dia sebenarnya berada dalam kelalaian.
Maka penawar bagi kelalaian adalah keluar daripada kelalaian dan menuju kepada mengingati Allah SWT. Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Kamu semua sebutlah [nama] Allah dengan banyak. Moga-moga kamu semua akan berjaya. (al-Jumuah: 10)
Rasulullah SAW sentiasa meminta kita agar optimis dan tidak sama sekali meminta kesusahan. Bahkan sewaktu baginda dan para sahabat sedang berhadapan dengan tentera musuh yang akan menyerang mereka bila-bila masa, baginda bersabda kepada para perajurit Islam.
Baginda bersabda: “Wahai manusia. Kamu semua janganlah mengharapkan pertemuan dengan musuh. Kamu semua mohonlah daripada Allah akan keselamatan. Lantas apabila kamu semua telah bertemu dengan mereka, maka kamu semua bersabarlah. Ketahuilah bahawa sesungguhnya syurga adalah di bawah bayangan pedang-pedang”.
Pernah pada satu hari Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki berdoa: “Ya Allah. Sesungguhnya daku memohon daripada-Mu akan kesabaran”. Lantas baginda bersabda: “Anda telah meminta daripada Allah akan mala petaka. Maka mohonlah daripada-Nya akan keselamatan”.
Baginda menegur sahabat tersebut kerana dengan memohon kepada Allah agar dikurniakan kesabaran bererti memohon agar ditimpakan kecelakaan terlebih dahulu sedangkan kita tidak boleh meminta ujian daripada Allah.
Namun jika benar-benar diuji dengan kesusahan, barulah kita pada saat itu dituntut memohon kesabaran.
Ujian Hadiah Allah
Mungkin ramai akan terkejut jika ada orang yang berkata: “Ujian adalah hadiah daripada Allah”. Namun ini sebenarnya adalah realiti.
Seseorang yang melihat dengan mata hati akan sedar bahawa ujian yang menimpa dirinya bukanlah tanda kebencian Allah kepadanya, bahkan sebenarnya Allah ingin mengangkat lagi kedudukan orang yang diuji di sisi Allah SWT.
Pernah pada satu hari Saidina Sa’d Abu Waqas bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah. Mana satukah manusia yang paling dahsyat ditimpa ujian”?
Baginda bersabda: “Para nabi. Kemudian orang yang paling menyerupai (para Nabi) lalu (yang seterusnya pula adalah) orang yang paling menyerupai (orang yang paling menyerupai para Nabi).
Maka seorang lelaki akan diuji berdasarkan (kekuatan) agamanya.
Lalu sekiranya agamanya adalah keras, nescaya ujiannya menjadi berat. Sekiranya tipis yang wujud di dalam agamanya, nescaya dia diuji berdasarkan agamanya. Maka ujian akan berterusan dengan seorang hamba sehinggalah ujian meninggalkannya berjalan di atas bumi dalam keadaan sudah tidak ada lagi di atasnya sebarang kesalahan”.
Ini bermakna semakin kita menghampiri keperibadian para rasul, semakin dahsyat ujian yang melanda. Ini bagi menghapuskan segala dosa dan membuahkan juga sifat sabar yang akan menatijahkan kecintaan Allah SWT. Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Allah mencintai mereka yang sabar. (ali-Imran: 146)
Menurut al-Sheikh Yusri Rushdi al-Hasaniyy, apabila seseorang sudah dicintai Allah, dia tidak akan diazab oleh Allah dalam api neraka.
Imam al-Bukhari pernah meriwayatkan satu hadis yang menceritakan kelebihan ujian yang menimpa seseorang.
Rasulullah SAW bersabda: Tidak akan menimpa seorang muslim (apa sahaja) daripada kepenatan, kesakitan, kerunsingan (disebabkan musibah yang bakal berlaku), kesedihan (disebabkan musibah yang telah berlaku), kemudaratan dan penderitaan sehinggakan duri yang menusuknya pun melainkan Allah telah menutupi disebabkan musibah-musibah itu akan kesilapan-kesilapannya.
Bunuh Diri
Ramai orang yang kecewa beranggapan dengan membunuh diri, selesailah segala masalah yang dihadapinya selama ini. Namun dia sebenarnya tersilap kerana membunuh diri bererti memulakan penderitaan yang akan terus menyakitkan dirinya.
Imam al-Bukhari telah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Barang siapa yang telah terjun daripada gunung lalu dia telah membunuh dirinya, maka dia di dalam neraka Jahanam akan terjun daripada gunung (yang ada di dalam neraka) dalam keadaan dia adalah orang yang kekal dan dikekalkan di dalam neraka Jahanam selama-lamanya.
Barang siapa yang telah meneguk racun lalu dia telah membunuh dirinya, maka racunnya [akan berada] di tangannya di dalam neraka jahanam dalam keadaan dia adalah orang yang kekal dan dikekalkan di dalam neraka jahanam selama-lamanya.
Barang siapa yang telah membunuh dirinya dengan sebilah (senjata) besi, maka (senjata) besinya (akan berada) di tangannya dalam keadaan dia akan memukul perutnya dengan besi itu di dalam neraka jahanam dalam keadaan dia adalah orang yang kekal dan dikekalkan dalam neraka jahanam selama-lamanya”.
Bayangkan derita sewaktu nyawa ditarik akibat membunuh diri di dunia tidak hanya berhenti di dunia sebaliknya kengerian itu akan terus dirasai berulang-ulang kali semasa dia di dalam api neraka apabila dia akan berterusan diazab dengan cara dia membunuh diri di dunia dahulu.
Solidariti Kepada Yang Diuji
Bukan semua mempunyai kematangan dalam menghadapi kesempitan hidup. Mereka amat perlukan sokongan semua lapisan masyarakat dalam menghadapi situasi getir. Maka segala bantuan kepada golongan yang menghadapi tekanan adalah satu tuntutan.
Rasulullah SAW pernah bersabda: Bukanlah seorang mukmin orang yang kenyang sedangkan jirannya berlapar.
Bukan hanya yang susah diuji oleh Allah bahkan orang yang senang juga diuji oleh Allah sama ada dia akan membantu yang susah atau membiarkannya sahaja.
Meminta bantuan atas kesusahan yang benar-benar terjadi kepada anda, tidak mencemarkan maruah anda bahkan anda membuka ruang kepada kami untuk menjadi seorang mukmin yang hakiki.
Rasulullah SAW pernah bersabda: Barang siapa yang tidak merahmati, dia tidak akan dirahmati.
- PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










