WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump memutuskan untuk menarik balik sebahagian tarif 50 peratus ke atas barangan dari Kanada, hanya dua minggu sebelum pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) berlangsung.
Langkah itu diumumkan selepas Senator Parti Republikan, Susan Collins, mendedahkan beliau merayu kepada Rumah Putih demi membantu industri di negerinya, Maine.
Collins kini berdepan saingan sengit untuk mempertahankan kerusinya dalam pilihan raya akan datang.
Menurut Rumah Putih, kelonggaran tarif yang bermula 30 Oktober ini melibatkan beberapa barangan utama seperti papan lapis, produk kertas, jentera tertentu serta peralatan penyejukan dan kotak pembungkusan.
Bagaimanapun, tarif baharu tetap akan dikenakan ke atas barangan lain seperti permaidani dan produk sisa.
Sebelum ini, AS mengenakan cukai tinggi 50 peratus ke atas barangan Kanada bernilai AS$20 bilion (RM81.7 bilion) selepas rundingan dagang kedua-dua negara gagal pada Ogos lalu.
Trump mendakwa Kanada melayan barangan AS secara tidak adil, terutamanya bagi produk kenderaan, tenusu dan minuman beralkohol.
Sebagai tindak balas, Perdana Menteri Kanada, Mark Carney turut mengenakan tarif balasan dengan nilai yang sama bagi melindungi kebajikan pekerja negara itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Kanada, Dominic LeBlanc menyambut baik perkembangan baharu itu dan menegaskan bahawa Kanada sedia berunding secara adil demi hubungan perdagangan yang saling menguntungkan.
Keputusan Rumah Putih ini dibuat pada waktu penting menjelang pilihan raya pertengahan penggal. Keputusan pilihan raya berkenaan bakal menentukan sama ada Parti Republikan atau Demokrat yang akan menguasai Kongres AS untuk tempoh dua tahun akan datang. -BBC











