Pang Ron-Pei Jing mara ke separuh akhir Terbuka Perancis

Pang Ron-Pei Jing mara ke separuh akhir Terbuka Perancis

BEREGU Campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing melangkah ke separuh akhir buat kali kedua berturut-turut selepas membenam pasangan Jerman, Marvin Seidel-Thuc Phuong Nguyen pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Tremblay-en-France, Perancis, hari ini.

Gandingan yang menghuni ranking ke-31 dunia itu diheret sehingga ke rubber set sebelum berhasil menundukkan pasangan No. 27 dunia itu 21-17, 20-22, 21-18 dalam masa 57 minit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada separuh akhir, esok, Pang Ron-Pei Jing bakal berdepan beregu No. 6 dunia, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui dari China.

Ini merupakan kemaraan kedua berturut-turut Pang Ron-Pei Jing ke separuh akhir, selepas berjaya berbuat demikian pada Terbuka Denmark, minggu lalu, yang menyaksikan mereka tewas di tangan beregu No. 1 dunia, Feng Yang Zhe-Huang Dong Ping.

Pang Ron berkata, sepanjang kariernya belum pernah dia melakar rekod pencapaian sebaik itu apabila berjaya mara ke separuh akhir berturut-turut pada Jelajah Dunia.

“Saya gembira dengan kejayaan ini, terima kasih kepada pasangan saya. Dia bagi saya keyakinan dan minta saya lakukan apa yang saya mahu.

“Dia hanya ikut rentak permainan saya, walaupun saya melakukan kesilapan dia tetap beri dorongan dan yakin kami boleh lakukan,” katanya sewaktu ditemu bual wakil BWF.

Ketika ditanya mengenai servis lawan yang sedikit mengelirukan, Pang Ron memberitahu, servis ‘spin’ yang dilakukan beregu Jerman jarang sekali diguna pakai dalam permainan beregu campuran.

Jelasnya, servis itu diakui unik dan sukar, tetapi, mereka berusaha fokus serta cuba menerima pukulan itu dengan cara yang mudah.

Sementara itu, Pei Jing pula berkata, kejayaan mara ke separuh akhir buat kali kedua berturut-turut tidak mudah dilakukan terutama pada kejohanan berstandard Super 750.

“Kami hanya fokus setiap mata sepanjang permainan dan amat penting mengelak daripada memikirkan perkara-perkara negatif, cuma fikir pukulan seterusnya,” ujarnya.

Menjawab pula pertanyaan caranya mengisi masa sepanjang berada di Perancis, menurut Pei Jing, memandangkan keadaan di Paris kurang selamat, dia hanya berulang alik dari gelanggang ke venue pertandingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini