Lapan bulan tingkat standard

Lapan bulan tingkat standard

Dua penerjun Malaysia, Enrique Harold dan Elvis Priestly Clement mengambil bahagian dalam acara final 10 meter platform di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad terjun negara berdepan tempoh persiapan yang semakin suntuk apabila hanya mempunyai kira-kira lapan bulan untuk memperkemas prestasi sebelum memulakan misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pengarah teknikal terjun Akuatik Malaysia (MAS), Yeoh Ken Nee berkata, Kejohanan Dunia Akuatik 2027 di Budapest pada Jun depan menjadi medan penting buat penerjun negara apabila kedudukan lapan terbaik dalam acara individu diperlukan untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik menerusi kejohanan itu.

“Tempoh persiapan ini agak mencabar buat penerjun dan barisan kejurulatihan kerana kami mempunyai kira-kira lapan bulan untuk membuat persediaan, sedangkan tempoh kelayakan Olimpik semakin hampir.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kejohanan Dunia Akuatik 2027 di Budapest akan menjadi antara pertandingan penting kerana penerjun perlu menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik acara individu untuk melayakkan diri ke Olimpik,” kata Ken Nee kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, kegagalan meraih tiket menerusi kejohanan dunia itu tidak bermakna peluang Malaysia tertutup sepenuhnya apabila penerjun masih mempunyai satu lagi laluan menerusi siri akhir kelayakan Piala Dunia pada 2028 sebelum temasya Olimpik berlangsung.

Ken Nee berkata, fokus utama pasukan ketika ini adalah meningkatkan standard penerjun negara, khususnya dari segi tahap kesukaran, pelaksanaan dan konsistensi terjunan bagi merapatkan jurang dengan pencabar utama di pentas antarabangsa.

“Bagi acara individu, terutama platform, kami perlu meningkatkan lagi prestasi dengan terjunan yang lebih dinamik, tahap kesukaran lebih tinggi dan pelaksanaan lebih baik untuk memperoleh markah lebih tinggi.

“China masih sangat kuat dalam acara individu, jadi kami sedar jurang itu wujud, tetapi tumpuan kami bukan sekadar membandingkan diri dengan mereka, sebaliknya meningkatkan standard penerjun sendiri,” katanya.

Keperluan memperbaiki prestasi individu semakin mendesak selepas Malaysia menamatkan kempen Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tanpa sebarang pingat individu buat kali pertama sejak membuat penampilan sulung dalam acara terjun pada Sukan Asia Busan 2002.

Pengalaman menuju Sukan Olimpik Paris 2024 juga menjadi peringatan buat skuad terjun negara apabila Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri gagal meraih tiket secara merit menerusi Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, pada Februari 2024 sebelum Dhabitah memperoleh slot tambahan untuk beraksi di temasya itu.

Situasi itu menuntut persiapan lebih tersusun menjelang LA28 supaya penerjun negara tidak hanya bergantung kepada peluang kelayakan tambahan, sebaliknya mampu memburu tiket Olimpik menerusi prestasi di kejohanan utama, khususnya Kejohanan Dunia Akuatik 2027 di Budapest. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini