Saya kekal profesional dengan rakan industri -Ruhainies - Utusan Malaysia

Saya kekal profesional dengan rakan industri -Ruhainies

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Selepas hampir tiga tahun berdepan kontroversi dan fitnah, pelakon Ruhainies akhirnya mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya daripada pelbagai tuduhan yang dilemparkan di media sosial. Tidak lagi sekadar membuat penafian, dia nekad membawa perkara itu ke saluran undang-undang selepas merasakan kesabarannya sudah sampai ke penghujung.

Mengakui isu berkenaan memberi kesan besar terhadap kesihatan mental, kehidupan peribadi dan kerjayanya, Ruhainies berkata, keadaan itu turut menjejaskan keluarganya, khususnya ibu bapa. Malah, kerugian akibat pembatalan dan penangguhan projek kerjasama dianggarkan mencecah jutaan ringgit.

Selepas sekian lama berdepan kontroversi dan fitnah, bagaimana keadaan Ruhainies ketika ini?

Memuatkan artikel berkaitan…

Sudah tentu saya berasa tertekan kerana saya hanya manusia biasa dan kesabaran setiap orang ada hadnya. Saya sudah berdepan dengan isu ini selama tiga tahun. Sebelum ini, saya beranggapan orang ramai akan melupakan perkara tersebut dan mereka mungkin hanya mengikut perasaan ketika menulis di media sosial. Sebab itu, saya memilih untuk memaafkan mereka.
Namun, apabila isu ini terus berlarutan dan penafian saya dianggap tidak serius, fitnah yang sama berulang kembali. Saya merasakan sudah cukuplah bersabar dan tindakan perlu diambil sebagai pengajaran kepada mereka yang bertindak tanpa berfikir panjang.

Mengapakah Ruhainies memilih untuk mengambil tindakan undang-undang sekarang dan bukannya sejak dahulu?

Sebelum ini, saya hanya membuat penafian melalui media. Namun, apabila saya membuat penafian, ada pihak yang menganggap sesiapa sahaja boleh berbuat demikian, seolah-olah saya tidak serius. Sebab itulah saya merasakan sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan undang-undang bagi membuktikan saya benar-benar serius dan tuduhan tersebut hanyalah fitnah.
Saya sudah melantik dua peguam daripada dua firma berbeza untuk mengendalikan perkara ini. Saya juga mengambil tindakan terhadap lima individu yang tidak saya kenali, tetapi menggunakan identiti sebenar mereka di media sosial. Tuntutan yang dibuat adalah RM3 juta bagi setiap individu, di samping ganti rugi teladan dan perintah larangan.

Sejauh manakah kontroversi ini menjejaskan kerjaya dan kehidupan peribadi Ruhainies?

Kerugian daripada segi kerjaya dianggarkan mencecah jutaan ringgit kerana melibatkan banyak jenama dan projek kerjasama. Ada tawaran yang dibatalkan dan ada juga yang ditangguhkan. Ada pihak yang menggunakan nama saya sebagai umpan untuk menarik perhatian, meningkatkan capaian akaun atau menaikkan kadar interaksi, sama ada untuk menjual produk mahupun mempromosikan pautan afiliasi. Saya sudah 11 tahun bekerja dalam industri seni. Sudah tentulah saya mempunyai simpanan dan pelaburan sendiri. Tidak logik jika saya dianggap tidak mempunyai wang hanya kerana kontroversi yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanakah Ruhainies menghadapi tekanan emosi, terutama apabila perkara ini turut melibatkan keluarga?

Kekuatan saya datang daripada keluarga, terutamanya ibu bapa. Sudah tentu mereka turut terkesan apabila melihat apa yang berlaku kepada saya. Ibu bapa pernah bertanyakan mengapa saya tidak mengambil tindakan sejak dahulu dan membiarkan maruah saya dipijak.Saya juga tidak mahu terus hidup dalam persekitaran yang toksik kerana perlu menjaga kesihatan mental dan emosi sendiri.Saya sudah lama meneruskan kehidupan serta menjalani rutin seperti biasa bersama mereka. Dalam industri seni pula, saya kekal profesional dengan semua rakan artis dan tidak pernah mengalami pengalaman buruk dengan mereka. Saya memilih untuk tidak mengambil tahu tentang perkara negatif demi menjaga kesihatan mental dan emosi sendiri.

Apakah pengajaran terbesar yang diperoleh Ruhainies daripada kontroversi ini?

Saya tidak mahu terus mengenangkan perkara lalu dan mahu memberikan tumpuan kepada masa depan serta memperbaiki diri. Hikmah terbesar daripada ujian ini adalah saya dapat mendekatkan diri kepada Allah, menjadi lebih matang dan lebih menghargai orang di sekeliling.Saya menerima teguran yang membina, tetapi penghinaan tidak boleh diterima. Saya juga bersyukur kerana di sebalik komen negatif, masih ramai yang memberikan sokongan moral dan kata-kata positif. Saya berharap orang ramai lebih berhati-hati sebelum menulis atau menyebarkan sesuatu di media sosial, terutama apabila perkara itu melibatkan maruah dan reputasi orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini