DUN Sarawak bubar berkuatkuasa 26 Oktober ini

DUN Sarawak bubar berkuatkuasa 26 Oktober ini

ABANG JOHARI TUN OPENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober 2026 bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-13.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Yang di-Pertua Negeri Sarawak telah memperkenankan permohonan beliau untuk membubarkan DUN selaras dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan dengan mandat baharu untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Rakyat Sarawak mesti diberikan peluang untuk melaksanakan hak demokratik mereka bagi memilih kerajaan dengan mandat baharu untuk meneruskan agenda pembangunan Sarawak,” katanya ketika sidang akhbar khas di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.

Abang Johari berkata, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran, manakala DUN baharu hendaklah bersidang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh tersebut.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan mengenai pembubaran itu bagi membolehkan persiapan berkaitan dilaksanakan.

“Kerajaan akan menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara sepanjang tempoh berkenaan dengan mematuhi keperluan dan konvensyen berkaitan.

“Perkhidmatan penting akan diteruskan bagi memastikan keperluan serta kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada rakyat Sarawak atas kepercayaan dan sokongan sepanjang penggal ini, selain berterima kasih kepada ahli-ahli DUN serta pentadbiran kerajaan atas khidmat mereka.

Beliau turut menyeru semua pihak khususnya parti politik, calon dan penyokong supaya menghormati undang-undang serta bertindak dengan penuh tanggungjawab sepanjang tempoh pilihan raya.

“Marilah kita bersama-sama memelihara keamanan, perpaduan dan keharmonian Sarawak yang amat kita hargai, sekali gus membolehkan rakyat membuat pilihan mereka secara bebas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini