KUALA LUMPUR: MyEG dan Zetrix AI Bhd masih belum melunaskan bayaran berjumlah RM314 juta kepada kerajaan walaupun selepas dua minggu digantung.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bayaran berkenaan masih belum diterima kerajaan setakat ini oleh syarikat-syarikat terbabit.
“Dari segi pembayaran, dia masih belum jelaskan selepas dua minggu digantung,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Projek Pengindahan Stesen LRT Masjid Jamek di sini hari ini.
Menurutnya, penggantungan itu tidak menjejaskan urusan pengguna apabila perkhidmatan berkaitan masih boleh diakses seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Ujarnya, keadaan itu turut didorong oleh peningkatan penggunaan aplikasi MyJPJ dalam kalangan orang ramai.
“Jadi bagi pengguna-pengguna, tidak ada masalah. Kita tak menghadapi masalah pun dalam dua minggu ini.
“Kutipan, pembaharuan cukai jalan, pembaharuan resit dapat diakses oleh orang ramai seperti biasa kerana ramai sekarang ini telah pun beralih kepada penggunaan MyJPJ,” katanya.
Pada 5 Oktober lepas, Anthony memaklumkan, perkhidmatan MyEG dan Zetrix AI Bhd sebagai ejen kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digantung selepas kedua-dua syarikat itu gagal menyerahkan hasil kutipan berjumlah RM314 juta kepada kerajaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September.
Tindakan itu diambil selepas kedua-dua syarikat berkenaan gagal melunaskan tunggakan terbabit walaupun 35 peringatan telah diberikan, selain beberapa siri libat urus diadakan oleh pihak berkuasa sejak Mei lalu.- UTUSAN











