MCA mahu jadi jambatan, bukan sekadar suara kaum Cina

MCA mahu jadi jambatan, bukan sekadar suara kaum Cina

NEOW CHOO SEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MCA kini berdepan keperluan untuk berubah seiring landskap politik yang semakin dinamik, khususnya dalam usaha keluar daripada imej sebagai parti yang hanya membawa suara masyarakat Cina.

Transformasi itu bukan sekadar membabitkan peremajaan kepimpinan dan pendigitalan komunikasi tetapi turut menuntut MCA memainkan peranan lebih besar sebagai jambatan antara kaum serta membawa isu yang menyentuh kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Dalam masa sama, parti itu mahu memperkukuh peranan dalam Barisan Nasional (BN), meningkatkan keyakinan pengundi khususnya generasi muda dan memastikan suara MCA tidak lagi dilihat sekadar sebagai pelengkap dalam gabungan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, NURAINA HANIS ABD. HALIM, HAFIZ SAIDINA serta jurugambar AMIR KHALID bersama Ketua Penerangan Pemuda MCA, NEOW CHOO SEONG, bagi mengupas usaha mentransformasikan MCA agar lebih relevan, inklusif dan dekat dengan generasi muda.


UTUSAN: Apakah perubahan yang perlu dilakukan MCA untuk kekal relevan dalam politik semasa, selain memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina?

NEOW CHOO SEONG: MCA sudah mula melakukan perubahan, khususnya dari aspek penampilan dan pendekatan parti. Sejak memegang jawatan Ketua Penerangan Pemuda MCA pada penghujung 2023, antara transformasi yang dilakukan ialah memberi tumpuan kepada pendigitalan maklumat dan penyampaian mesej melalui platform digital, khususnya media sosial.

Dahulu MCA banyak menumpukan aspek perkhidmatan dan pentadbiran ketika berada dalam kerajaan sehingga menyebabkan penyampaian mesej kepada masyarakat agak ketinggalan.

Jadi, perubahan itu penting supaya MCA dapat menyampaikan pendirian dan membawa isu rakyat dengan lebih berkesan.

 

Adakah transformasi MCA itu sekadar perubahan dari segi komunikasi?

Lebih besar daripada itu. Peremajaan perlu melibatkan golongan muda. Sejak beberapa tahun lalu, kita memberi lebih banyak ruang kepada Pemuda dan Beliawanis MCA untuk tampil sebagai barisan hadapan. 

Hari ini kita dapat lihat lebih ramai pemimpin muda MCA sebati dalam aktivisme kemasyarakatan dan tampil membawa isu rakyat. Mereka bukan sahaja membawa isu berkaitan kepentingan masyarakat Cina tetapi turut membawa isu nasional seperti membanteras rasuah, Rohingya, alam sekitar dan pelbagai isu lain yang berkepentingan kepada keseluruhan rakyat.

 

Adakah ini  ini bermakna MCA mahu keluar daripada imej parti yang hanya memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina?

Ya. Selepas 69 tahun negara merdeka, kita tidak boleh lagi berfikir seolah-olah masyarakat Cina hanya memerlukan perhatian khusus. Kita berada di era semua orang boleh berintegrasi dengan baik dan kepentingan yang diperjuangkan melibatkan kepentingan sejagat.

Sebab itu, untuk kekal relevan, MCA perlu melihat semula konsep dan konteks perjuangan serta ideologi parti supaya selaras dengan tuntutan dan realiti politik semasa.

 

Tetapi MCA masih sebuah parti berasaskan kaum. Bagaimana mahu mengimbangi perjuangan masyarakat Cina dengan pendekatan yang lebih nasional?

Walaupun merupakan parti berasaskan kaum Tionghoa, itu tidak bermakna kami hanya menjadi wadah perjuangan kaum Cina. Kita masih perlu memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina tetapi pada masa sama mempunyai tanggungjawab memastikan perpaduan nasional dan integrasi kaum diperkukuhkan.

MCA perlu bersifat nasionalis dan sentris. Kita perlu menjaga kepentingan masyarakat Cina tetapi dalam masa sama memastikan kepentingan semua kaum turut diambil kira.

 

Dalam keadaan polarisasi politik dan kaum semakin ketara, apakah peranan yang boleh dimainkan MCA?

Kita perlu menjadi jambatan antara kaum. Kita melihat masyarakat Cina dalama pilihan raya lalu menyebelahi satu parti, sedangkan parti itu pula ditolak hampir secara total oleh sebahagian besar masyarakat Melayu. Ini adalah realiti politik yang sangat bahaya kerana boleh melebarkan jurang perbezaan dan pemahaman politik antara kaum.

MCA perlu memainkan peranan untuk merapatkan jurang tersebut supaya boleh kembali bergerak dalam konteks kesatuan rakyat secara keseluruhannya.

 

Bagaimana MCA mahu menjadi jambatan itu sedangkan persepsi terhadap MCA masih kuat sebagai parti Cina?

Tiada masalah untuk MCA memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina kerana orang awam, khususnya Melayu, lebih selesa dengan MCA berbanding DAP. Itu realiti tetapi kita perlu mengimbangi tuntutan dan integrasi antara kaum. 

Kita hidup dalam masyarakat majmuk. Tidak mungkin kita mencapai keharmonian sekiranya dasar sosial tidak seimbang dan tidak adil.

Kita perlu memahami setiap kaum mempunyai tuntutan masing-masing tetapi pada masa sama perlu mencari titik persamaan dalam konteks toleransi dan integrasi.

 

Bagaimana mahu meyakinkan masyarakat Cina yang pendekatan nasional tidak bermakna kepentingan mereka akan diketepikan?

Kita masih mempunyai asas pendirian parti. Kita tetap melihat kepentingan masyarakat Cina, khususnya dalam aspek ekonomi dan pendidikan. Tetapi apabila memperjuangkan sesuatu, ia perlu dilakukan dalam konteks nasional dan selaras dengan prinsip Perlembagaan.

Contohnya dalam isu pendidikan. Sekolah aliran vernakular merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan negara dan dijamin dalam Perlembagaan. Jadi, kita tidak boleh berkompromi sekiranya ada pihak mahu menghapuskannya.

Dalam masa sama, perjuangan itu perlu dilihat dalam konteks keadilan kepada semua aliran pendidikan. Kita perlu mencari titik persamaan, bukan menjadikan sesuatu isu sebagai punca perpecahan.

 

Jadi, apakah yang MCA mahu masyarakat Melayu dan Cina faham tentang satu sama lain?

Itu sebenarnya fungsi MCA sebagai jambatan. Kita perlu memberi pemahaman kepada orang Melayu mengenai konteks dan pemikiran masyarakat Cina. Kita juga perlu memahamkan masyarakat Cina mengenai konteks nasional dan bagaimana masyarakat lain melihat sesuatu isu.

Kita tidak boleh hanya memihak kepada satu kaum dan berlawan dengan kaum yang lain. Itu bukan integrasi.

 

Adakah  generasi muda, khususnya Generasi Z (Gen Z), sebagai kelompok yang boleh mengubah corak sokongan politik masyarakat Cina?

Saya percaya begitu. Gen Z lebih terdedah kepada informasi secara terbuka dan boleh melihat realiti kehidupan. Mereka tidak semestinya mudah terpengaruh dengan retorik politik seperti generasi terdahulu.

Mereka juga melihat bagaimana sesebuah parti mentadbir. Apabila sesebuah parti gagal, mereka akan mencari alternatif yang boleh membantu membina masa depan lebih baik. Sebab itu saya percaya Gen Z lebih objektif dan tidak semestinya taksub kepada sesuatu parti.

 

Sejauh mana isu ekonomi boleh mempengaruhi pengundi muda?

Sangat besar. Anak-anak muda di bandar sangat terkesan dengan kos kehidupan. Selepas tamat belajar, ramai tidak mampu menyewa rumah, membeli kereta atau menjalani kehidupan seperti generasi terdahulu.

Kalau satu hidangan pun sudah mencecah RM20, belum lagi tol, pengangkutan, parkir, sewa, elektrik, internet dan telefon. Mereka merasai sendiri tekanan itu.

Jadi, bagi mereka perubahan bukan lagi soal retorik. Mereka akan melihat prestasi dan dasar kerajaan kerana mereka mahu pekerjaan, berkeluarga mahu membina kehidupan.

 

Dalam BN, MCA pernah dikritik sebagai sekadar menjadi penumpang, komen?

MCA tidak boleh lagi menjadi sekadar penumpang dalam perjuangan BN. MCA perlu tampil ke hadapan dan bersama-sama dalam perjuangan itu.

Kita perlu mempunyai kekuatan sendiri supaya apabila mendapat sokongan rakyat, kita tidak menghampakan mereka. Kalau orang melihat MCA sekarang lebih berani bersuara, kita perlu kekalkan momentum itu.

Dan suara itu untuk keseluruhan rakyat. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini