“Mereka orang desa, ustaz! Pendapatan pun tidak seberapa. Kalau ada pihak yang sanggup membayar upah lumayan untuk membakar hutan milik syarikat tertentu demi mahu menjimatkan kos pembersihan, mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan wang.”
Dialog di atas ialah cetusan kecewa seorang pelajar saya dalam sebuah kelas di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pelajar saya ini berasal dari Banjarmasin Kalimantan yang terkesan teruk dengan bencana kebakaran hutan di Indonesia yang mencapai rekod paling buruk dalam tempoh 11 tahun.
Dalam rencana kali ini, saya akan berkongsi satu sudut pandang mendalam bagi pihak yang terlibat mencetus kebakaran hutan di Indonesia. Saya mulakan sudut pandang ini dengan dialog berikut:
“Tergamak anda membakar masjid walaupun diupah dengan jumlah ratusan juta rupiah?”
Muslim yang waras pastinya tidak tergamak untuk membakar sebuah masjid kerana ia adalah rumah Allah di bumi. Membakar rumah Allah pastinya akan mencetus murka dan amarah Allah serta seluruh Muslim. Asas idea ini ada sandarannya daripada sabda nabi SAW:
Ertinya: Aku dikurniakan lima keistimewaan yang tidak diberikan kepada nabi-nabi sebelumku. Pertama, musuh berasa gerun terhadap tentera Islam walaupun mereka masih jauh, sejauh perjalanan sebulan.
Kedua, seluruh bumi dijadikan tempat solat dan bersuci, maka umatku boleh menunaikan solat di mana-mana sahaja apabila tiba waktunya.
Ketiga, dihalalkan bagiku harta rampasan perang. Keempat, nabi-nabi terdahulu diutuskan khusus kepada kaum masing-masing, sedangkan aku diutuskan kepada seluruh manusia. Kelima, aku dikurniakan syafaat agung pada hari akhirat kelak. (Sahih al-Bukhari, 438).
Kelebihan kedua yang dinyatakan hadis di atas menunjukkan kepada kita betapa bumi ini tanpa mengira ceruk rantaunya layak serta boleh dijadikan tempat bersujud (makna perkataan asal masjid).
Pada hukum asalnya, umat Islam boleh mendirikan masjid di mana sahaja di bumi ini. Namun, perkembangan zaman memerlukan umat Islam meminta izin serta mencari tapak yang sah sebelum membuat sebarang binaan masjid.
Penulis tertarik dengan buah fikir hebat seorang penulis Muslim warga Amerika Syarikat bernama Ibrahim Abdul-Matin dalam buku beliau bertajuk Green Deen: What Islam Teaches About Protecting the Planet.

Buku ini membincangkan ajaran Islam tentang penjagaan alam sekitar, termasuk pemeliharaan air, pengurangan pembaziran, penggunaan tenaga dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah di bumi. Ibrahim menjadi aktivis alam sekitar berikutan pengalaman unik beliau pada waktu kecilnya bersama ayahnya.
Ketika kecil, ayahnya membawanya berkhemah di sebuah hutan dalam taman negara di Amerika. Apabila masuk waktu solat, ayahnya mengajaknya menunaikan solat secara terbuka di tapak perkhemahan.
Dia berasa hairan kerana selama ini mereka hanya bersolat di masjid komuniti setempat. Dengan bijaksana, ayahnya menjelaskan seluruh bumi boleh dijadikan tempat solat bagi umat Islam, sebagaimana yang disebut dalam hadis di atas.
Terkesan dengan peristiwa tersebut, Ibrahim Abdul-Matin membesar dengan semangat serta pemikiran betapa bumi sebagai sebuah masjid perlu dijaga rapi. Jika dalam sebuah masjid kita tidak boleh membuang sampah atau mengotorinya secara fizikal dan rohani, perkara sama turut terpakai kepada seluruh bumi ini.
Secara metaforanya, saya bersetuju dengan buah fikir penulis buku tersebut. Ia sangat unik, mendalam, progresif dan berfikiran jauh kerana biasanya umat Islam akan lebih berhati-hati apabila sebarang isu dikaitkan dengan agama secara terus.
Lalu, tindakan membakar hutan untuk sedikit penjimatan sangat bercanggah dengan maksud penciptaan alam ini oleh Allah. Allah tidak mencipta seluruh alam secara sia-sia tanpa fungsi dan guna. Pastinya hutan belantara ciptaan Allah boleh dianggap sebagai paru-paru bumi yang menyimpan stok oksigen serta banyak lagi manfaat ajaib untuk manusia. Ingat amaran keras Nabi ini:
Ertinya: Sesiapa menebang (memusnahkan) pokok bidara (serta semua jenis pokok di tempat yang diperlukan manusia serta haiwan secara zalim atau tanpa sebab munasabah), Allah akan membenamkan kepalanya dalam neraka (di akhirat kelak) (Sunan Abu Dawud, 5239).
Amaran nabi ini logik dan masuk akal! Lihat sahaja kesan negatif hasil pembakaran gila ini. Habis seluruh nusantara merana. Manusia jatuh sakit dan sesak dada menelan asap jerebu yang sudah mencecah bulan tempohnya.
Bekalan oksigen daripada tumbuh-tumbuhan semakin terancam, manakala haiwan yang berperanan penting dalam keseimbangan ekosistem turut terjejas. Pendek kata, dosa akibat pembakaran hutan jauh lebih besar daripada jutaan, malah berbilion-bilion rupiah yang diperoleh, kerana kemusnahannya mengancam kehidupan manusia dan makhluk lain.
Pastinya pelaku atau pencetus pembakaran ini bakal menanggung dosa berat. Jika ada yang sudah hilang nyawanya dek penyakit bawaan jerebu, jangan terkejut mereka bakal didakwa atas dosa membunuh ‘tanpa niat atau berniat’ di akhirat kelak. Ingat! Allah tidak akan melepaskan kezaliman begitu sahaja! Jika terlepas di dunia kerana perisai politik serta kuasa yang anda miliki, seksa akhirat tetap setia menunggu anda. Firman Allah:
Ertinya: Janganlah engkau menyangka Allah lalai terhadap perbuatan orang-orang zalim. Sesungguhnya, Dia hanya menangguhkan hukuman mereka hingga tibanya hari yang dahsyat, ketika mata terbeliak ketakutan. Mereka bergegas menuju ke Padang Mahsyar dengan kepala mendongak, mata tidak berkelip dan hati yang kosong akibat ketakutan serta kecemasan. (Ibrahim 14:42-43)
Ayuh kita semua bangkit secara serius menghentikan kegilaan ini. Jangan sampai sangka buruk para malaikat kepada manusia yang suka melakukan kerosakan di bumi (al-Baqarah 2:30), dibuktikan dengan bencana jerebu yang seakan sudah menjadi acara wajib tahunan ini. Hentikan!
Penulis ialah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia











