Ular 40cm sembunyi dalam pesawat paksa penerbangan dibatalkan

Ular 40cm sembunyi dalam pesawat paksa penerbangan dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Seekor ular sepanjang 40 sentimeter (cm) ditemukan bersembunyi di bawah karpet lantai sebuah pesawat di Jepun memaksa penerbangan ke Kagoshima dibatalkan, sementara pihak berkuasa menyiasat bagaimana reptilia itu boleh berada di dalam kabin.

Menurut laporan Kyodo News, ular itu ditemukan seorang mekanik di Lapangan Terbang Fukuoka kira-kira pukul 1 tengah hari Isnin, ketika kru sedang membuat persiapan sebelum pesawat berlepas.

Pesawat kendalian Japan Air Commuter itu dijadualkan terbang ke wilayah Kagoshima selepas tiba dari Lapangan Terbang Izumo pada hari sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penemuan ular berkenaan menyebabkan penerbangan itu dibatalkan sepenuhnya, selain mencetuskan operasi pencarian selama sehari yang diketuai seorang pakar kawalan hidupan liar.

Reptilia yang tidak berbahaya itu ditemukan menyusur di bawah karpet lantai pesawat ketika pramugari dan kru sedang menyiapkan kabin sebelum pesawat berlepas.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum dapat memastikan bagaimana ular itu memasuki ruang penumpang, memandangkan kejadian seumpama itu amat jarang berlaku.

“Setakat yang kami ketahui, belum pernah berlaku kejadian ular memasuki kabin pesawat. Kami memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang,” menurut Japan Airlines dalam satu kenyataan.

Insiden itu mengingatkan kepada kejadian serupa pada Jun lalu apabila seekor ular berbisa terlepas di dalam sebuah pesawat yang sesak ketika penerbangan dari Mexico menuju ke United Kingdom (UK).

Ular jenis mock viper itu bergerak di sekitar kabin sepanjang penerbangan malam berkenaan, namun hanya ditemukan selepas pesawat mendarat di Lapangan Terbang Gatwick apabila seorang pekerja pembersihan terserempak dengan reptilia itu.

Susulan penemuan tersebut, jurutera aeroangkasa dan pakar hidupan liar menjalankan pencarian di seluruh pesawat Boeing 787-9 Dreamliner itu, namun usaha berkenaan gagal menemui ular tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini