KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,530 permohonan kewarganegaraan di Sabah masih menunggu keputusan, berbanding hanya 41 permohonan yang direkodkan selesai diluluskan bagi tempoh 2025 hingga 15 September 2026.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jumlah itu berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tempoh berkenaan.
“Jumlah permohonan kewarganegaraan yang tertunggak dan diluluskan di Negeri Sabah, rekod JPN menunjukkan bahwa bagi tempoh tahun 2025 hingga 15 September 2026, sebanyak 41 permohonan kewarganegaraan telah diluluskan, manakala 4,530
permohonan masih dalam proses pertimbangan.
“Manakala, bagi pendaftaran kelahiran lewat di Negeri Sabah dalam tempoh yang sama,
sebanyak 3,573 permohonan telah diluluskan, manakala 732 permohonan masih dalam proses,” katanya dalam jawapan bertulis hari ini.
Beliau menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang meminta kerajaan menyatakan langkah mempercepat proses permohonan kewarganegaraan dan pendaftaran kelahiran lewat, mengurangkan tempoh menunggu serta meningkatkan ketelusan maklum balas kepada pemohon.
Vivian turut meminta jumlah permohonan kewarganegaraan dan pendaftaran kelahiran lewat yang tertunggak serta diluluskan di Sabah bagi 2025 dan 2026.
Saifuddin berkata, statistik kelulusan yang direkodkan JPN tidak semestinya menggambarkan keseluruhan permohonan yang telah mendapat keputusan lulus daripada KDN dalam tahun semasa.
“Untuk penjelasan Ahli Yang Berhormat, statistik “lulus” bagi permohonan kewarganegaraan merujuk kepada permohonan yang telah mendapat keputusan lulus serta sijil kewarganegaraan telah dikeluarkan dan diserahkan kepada pemohon.
“Oleh itu, walaupun sesuatu permohonan telah diluluskan di peringkat KDN, ia masih akan direkodkan sebagai dalam proses” dalam sistem JPN sekiranya sijil tersebut belum dicetak
dan diserahkan kepada pemohon.
“Sehubungan itu, statistik “lulus” yang direkodkan oleh JPN tidak semestinya menggambarkan sepenuhnya semua permohonan yang telah diberi keputusan lulus oleh KDN dalam tahun semasa,” katanya. – UTUSAN











