Sijil jadi kenangan, ibu bapa Suraya sebak naik pentas UMT

Sijil jadi kenangan, ibu bapa Suraya sebak naik pentas UMT

NAIB Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Suriyani Muhamad (tiga dari kanan) menyampaikan sijil anumerta kepada Rohanah Md. Rejab dan Hassan Sarbini (kanan) pada Istiadat Konvokesyen Ke-24 UMT di Dewan Sultan Mizan, Kuala Nerus, Terengganu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sebak dan pilu menyelubungi hati ibu bapa Allahyarham Suraya Hassan apabila naik ke pentas Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-24, semalam untuk menerima sijil anumerta anak mereka itu yang meninggal dunia ketika cuba menyelamatkan rakannya daripada lemas.

Sijil yang sepatutnya diterima sendiri oleh graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Nanofizik) dengan kepujian itu kini menjadi kenangan paling berharga buat keluarganya selepas dia meninggal dunia dalam kejadian di Su­ngai Lata Ulu Kasar, Sungai Tong, pada 19 April lalu.

Bagi bapanya, seorang pesara polis, Hassan Sarbini dan ibunya, Rohanah Md. Rejab, dari Batu Pahat, Johor, detik itu hadir bersama rasa bangga terhadap pencapaian anak mereka namun pada masa sama me­ngundang kerinduan yang sukar diungkap­kan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai ibu bapa, sudah tentu kami berasa sedih kerana Suraya tidak dapat bersama-sama kami pada hari yang sepatutnya menjadi detik membanggakan dalam hidupnya.

“Kami bersyukur kerana berpeluang hadir ke majlis ini dan membawa pulang sesuatu yang menjadi bukti perjuangannya selama ini. Sijil ini sangat bermakna buat kami dan akan menjadi kenangan yang disimpan sampai bila-bila,” katanya ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen Ke-24 UMT di Dewan Sultan Mizan, di sini.

Rohanah turut berkongsi kenangan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini apabila Allahyarham Suraya bersungguh-sungguh mahu semua 12 beradik berkumpul untuk mengambil gambar keluarga.

“Semasa sambutan hari raya tahun ini, Suraya bersungguh-sungguh mahu kami mengambil gambar lengkap sekeluarga, semua 12 adik-beradik. Dia juga ada bercakap tentang siapa antara kami yang akan ‘pergi dahulu’.

“Ketika itu, kami tidak me­nyangka kata-kata tersebut menjadi kenangan yang sangat mendalam selepas pemergiannya,” katanya.

Dalam kejadian, April lalu, Suraya meninggal dunia selepas cuba membantu rakannya yang hampir lemas ketika mereka berkelah dan mandi-manda bersama beberapa pelajar UMT di Sungai Lata Ulu Kasar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini