Malaysia raih urus niaga eksport RM453j di Semicon West 2026

Malaysia raih urus niaga eksport RM453 juta di Semicon West 2026

MATRADE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyertaan Malaysia dalam pameran perdagangan SEMICON West 2026 di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) berjaya menjana urus niaga eksport bernilai RM453 juta (AS$110 juta).

Jumlah itu merupakan nilai tertinggi direkodkan menerusi penyertaan yang diselaraskan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di acara utama industri semikonduktor berkenaan sejak penyertaan sulungnya pada 2007.

Sebanyak 10 syarikat Malaysia termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai pameran perdagangan itu tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, penyertaan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha mempercepat eksport semikonduktor Malaysia, khususnya dalam kalangan PKS tempatan.

Katanya, usaha itu turut bertujuan memperkukuh hubungan perdagangan dan industri dengan Amerika Utara serta memperluas pasaran eksport termasuk ke Amerika Latin, Asia Tengah dan Afrika.

“Usaha ini menyokong aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

“Ia khususnya dalam menggerakkan syarikat Malaysia ke arah aktiviti bernilai tambah lebih tinggi, memperkukuh keupayaan rantaian bekalan domestik serta merebut peluang dalam industri elektronik dan semikonduktor global yang terus berkembang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pencapaian tersebut turut mencerminkan permintaan antarabangsa yang kukuh terhadap penyelesaian elektronik dan semikonduktor Malaysia.

“Ia merangkumi komponen berketepatan tinggi dan fabrikasi logam, penyelesaian antara muka ujian semikonduktor, peralatan semikonduktor, perkakasan industri, abah-abah wayar, komponen elektrik serta mesin pendispensan.

“Keupayaan tersebut meletakkan syarikat Malaysia pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang baharu didorong kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT), teknologi termaju dan automasi industri.

“Ini sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dan berdaya saing dalam rantaian bekalan elektronik dan semikonduktor global,” katanya.

Selain urusan perniagaan sepanjang pameran, Matrade turut memperkukuh hubungan strategik industri menerusi pertemuan dengan SEMI, sebuah organisasi industri semikonduktor yang mempunyai 4,000 syarikat ahli.

“Matrade turut mengadakan pertemuan dengan Pejabat Datuk Bandar Phoenix bagi meneroka kerjasama industri yang lebih erat serta meningkatkan penyertaan syarikat Malaysia dalam ekosistem mikroelektronik dan semikonduktor global.

“Pada masa sama, sesi rangkaian menerusi Global Chamber, sebuah organisasi rangkaian industri yang berpangkalan di Phoenix, Arizona memberi peluang kepada syarikat Malaysia membentangkan keupayaan masing-masing, berinteraksi dengan bakal pelanggan dan membina hubungan perniagaan baharu.

“Penglibatan itu melengkapi usaha Matrade menghubungkan pengeksport Malaysia dengan pembeli antarabangsa, peneraju industri dan rakan strategik bagi membuka lebih banyak peluang eksport,” katanya. 

Dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik, persaingan global yang semakin sengit serta peningkatan keperluan berkaitan alam sekitar dan kelestarian, beliau berkata, pihaknya akan terus membantu pengeksport dan PKS tempatan meningkatkan kesiapsiagaan serta daya saing di peringkat antarabangsa.

“Usaha itu termasuk membina perkongsian strategik dan membantu syarikat tempatan meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai global.

“Menerusi promosi perdagangan bersasar dan penglibatan bersama industri, Matrade akan terus membantu syarikat Malaysia merebut peluang baharu serta menyumbang kepada pertumbuhan mampan industri elektronik dan semikonduktor negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini