Tahap pendayaupayaan pengguna (CEI) meningkat kepada 70.36 peratus - KPDN - Utusan Malaysia

Tahap pendayaupayaan pengguna (CEI) meningkat kepada 70.36 peratus – KPDN

ARMIZAN MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahap pendayaupayaan pengguna Malaysia meningkat kepada 70.36 peratus pada 2025 berbanding 63.1 peratus pada 2020, berdasarkan Kajian Indeks Pendayaupayaan Pengguna (CEI) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata peningkatan 7.26 mata peratusan itu menunjukkan pengguna semakin berpengetahuan dan yakin dalam membuat keputusan pembelian serta melindungi hak mereka.

Katanya, skor bagi ketiga-tiga domain kajian turut meningkat, merangkumi keputusan pembelian, literasi kewangan dan tindakan penyelesaian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Peningkatan skor ini bukan sekadar angka statistik, tetapi cerminan sebenar kepada perubahan sikap dan tindakan rakyat Malaysia sebagai pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Selain itu, Domain Keputusan Pembelian mencatatkan skor tertinggi sebanyak 75.91 peratus, meningkat 7.11 mata peratusan berbanding 2020.

Manakala, Domain Literasi Kewangan pula meningkat 3.97 mata peratusan kepada 66.47 peratus, manakala Domain Tindakan Penyelesaian meningkat 10.74 mata peratusan kepada 66.84 peratus.

“Peningkatan ini mencerminkan perubahan sikap pengguna, khususnya dalam keberanian menyuarakan aduan dan menuntut hak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, KPDN akan terus memperkasa Gerakan Pengguna Siswa (GPS) bagi meningkatkan kesedaran mahasiswa mengenai hak dan tanggungjawab pengguna.

“Usaha itu turut bertujuan membudayakan amalan kepenggunaan yang bijak, beretika dan bertanggungjawab dalam masyarakat,” katanya.

Seramai 200 peserta GPS daripada 100 institusi pengajian tinggi (IPT) menyertai Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa (MPGPS) Peringkat Kebangsaan 2026 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur, dari 19 hingga 21 Oktober ini.

“Setakat ini, sebanyak 196 kelab GPS berdaftar di seluruh negara,” katanya.

Program itu merangkumi pelbagai aktiviti kepenggunaan, termasuk pertandingan, lawatan lapangan bersama penguat kuasa KPDN dan sesi perkongsian ilmu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini