RM100,000 naik taraf kemudahan SMK Benoni

RM100,000 naik taraf kemudahan SMK Benoni

ARMIZAN Mohd. Ali ketika melancarkan Program Sekolah Angkat MADANI KPDN Tahun 2026 di SMK Benoni di Papar, Sabah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyalurkan peruntukan RM100,000 bagi menaik taraf kemudahan pengajaran dan pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benoni di Papar, Sabah menerusi Program Sekolah Angkat MADANI KPDN Tahun 2026.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, peruntukan itu antaranya digunakan untuk menaik taraf Bengkel Sains Rumah Tangga dan Bengkel Rekaan Jahitan Pakaian, selain membaiki bumbung tambahan surau serta membeli aset bagi menambah baik persekitaran pengajaran dan pembelajaran.

Menurutnya, penambahbaikan kedua-dua bengkel berkenaan mengambil kira kedudukan SMK Benoni sebagai satu-satunya sekolah di Sabah yang menawarkan mata pelajaran Rekaan Jahitan Pakaian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Program Sekolah Angkat Madani merupakan inisiatif yang diperkenalkan pada tahun 2025 bagi memperkasa pendidikan secara menyeluruh melalui kerjasama kementerian dan agensi kerajaan, sektor swasta serta masyarakat.

“Program ini memberi tumpuan kepada pembangunan sosial, pemerkasaan komuniti sekolah, pembangunan sahsiah dan kemahiran murid,” katanya ketika melancarkan Program Sekolah Angkat MADANI KPDN Tahun 2026 di SMK Benoni di Papar, Sabah hari ini.

Armizan berkata, bagi tahun ini, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM50 juta untuk pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI dengan RM100,000 diperuntukkan kepada setiap kementerian bagi melaksanakan program dan projek di sekolah terpilih.

Katanya, selain peruntukan KPDN, SMK Benoni turut menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada agensi di bawah kementerian berkenaan dan syarikat swasta.

“Sumbangan itu meliputi pembinaan Dewan Serbaguna, kelengkapan bilik darjah dan alat bantu mengajar, sokongan kepada program kecemerlangan akademik dan pembangunan sahsiah serta bantuan kewangan kepada murid asnaf, fakir miskin dan anak yatim.

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua agensi KPDN, syarikat swasta dan pihak yang telah menyumbang serta warga SMK Benoni yang bersama-sama menjayakan program ini,” katanya.

Beliau berkata, Program Sekolah Angkat MADANI diharap bukan sahaja dapat menambah baik kemudahan di SMK Benoni, malah memperkasa komuniti sekolah serta meningkatkan pencapaian dan kemahiran murid dalam pelbagai aspek.

Sebelum ini, program sama dilaksanakan KPDN di Sekolah Kebangsaan (SK) Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah pada tahun 2025.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×