Wall Street positif belum pulih keyakinan pelabur Bursa Malaysia

Wall Street positif belum pulih keyakinan pelabur Bursa Malaysia

FBM KLCI banyak dipengaruhi saham perbankan dan syarikat bermodal besar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi positif Wall Street belum cukup untuk memulihkan keyakinan pelabur terhadap pasaran saham tempatan apabila ketidaktentuan geopolitik, prospek pendapatan korporat dan hala tuju aliran dana asing terus membayangi sentimen pasaran.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perakaunan dan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Universiti Taylor, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, kenaikan pasaran saham Amerika Syarikat (AS) hanya memberikan sokongan sentimen sementara, manakala pelabur masih memerlukan pemangkin lebih kukuh sebelum meningkatkan pegangan dalam ekuiti Malaysia.

“Aktiviti dagangan yang perlahan pada pembukaan Rabu mencerminkan sikap berhati-hati pelabur, meskipun terdapat tanda-tanda pembelian pada harga rendah susulan penurunan pasaran sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain itu, perbezaan komposisi pasaran AS dan Malaysia menyebabkan kenaikan saham teknologi di Wall Street tidak semestinya diterjemahkan kepada prestasi setara bagi FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, FBM KLCI banyak dipengaruhi saham perbankan dan syarikat bermodal besar, menjadikan prospek pendapatan korporat tempatan kekal antara faktor utama yang menentukan hala tuju indeks.

Katanya, kenaikan tipis pada pembukaan Rabu lebih mencerminkan usaha pasaran membina kestabilan berbanding petunjuk bahawa pemulihan mampan sudah bermula.

“Pergerakan itu menunjukkan momentum belian masih terhad walaupun bilangan saham yang meningkat mengatasi saham yang menurun.

“Bagi mengesahkan pemulihan, indeks perlu bertahan di atas paras 1,600 mata untuk beberapa sesi dagangan, selain disokong peningkatan nilai dagangan dan penyertaan belian yang lebih meluas merentasi sektor.

“Kenaikan yang hanya bergantung pada beberapa saham berwajaran tinggi belum memadai untuk menunjukkan keyakinan pasaran telah pulih sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, Paul menjangkakan ketidaktentuan geopolitik dan sentimen mengelak risiko global terus mempengaruhi pasaran saham Malaysia dalam jangka pendek, memandangkan ekonomi negara terdedah kepada perkembangan perdagangan antarabangsa dan pergerakan modal rentas sempadan.

“Peningkatan risiko global boleh mendorong pelabur mengurangkan pegangan dalam aset berisiko, termasuk saham pasaran sedang pesat membangun,” katanya.

Sementara itu, Apex Securities berkata, FBM KLCI memulakan dagangan Rabu dengan kenaikan tipis apabila pelabur kekal berhati-hati dalam persekitaran pasaran yang cenderung mengelak risiko, meskipun Wall Street mencatat prestasi positif semalaman.

Menurut firma penyelidikan itu, penurunan harga minyak dan penyusutan hasil Perbendaharaan AS berpotensi memberikan sedikit kelegaan kepada sentimen pasaran menerusi pengurangan tekanan inflasi serta kebimbangan terhadap kos pinjaman.

“Bagaimanapun, ketidaktentuan geopolitik yang berterusan dan kelemahan saham teknologi serantau dijangka terus membataskan selera risiko pelabur.

“Selain itu, perhatian pelabur turut tertumpu kepada keputusan kewangan Tesla dan Meta yang bakal diumumkan bagi mendapatkan petunjuk lanjut mengenai pulangan pelaburan kecerdasan buatan (AI) serta perancangan perbelanjaan korporat. Perkembangan berkenaan berpotensi mempengaruhi sentimen terhadap sektor teknologi global,” katanya.

Apex Securities turut menjangkakan aktiviti pembelian terpilih pada harga rendah susulan penurunan FBM KLCI sejak kebelakangan ini, khususnya membabitkan saham berasas kukuh yang menawarkan penilaian menarik serta hasil dividen memberangsangkan.

Bagaimanapun, firma itu berkata, pemulihan pasaran yang mampan berkemungkinan bergantung pada kestabilan aliran dana asing dan peningkatan keluasan pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini