Taktikal senjata skuad kebangsaan ke Piala Dunia B-15

Taktikal senjata skuad kebangsaan ke Piala Dunia B-15

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan meluangkan masa bersama pemain dan pegawai pasukan skuad kebangsaan yang akan menyertai kempen Festival Piala Dunia B-15 2026 di Baku, Azerbaijan dari 24 hingga 30 Oktober ini di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keupayaan taktikal menjadi sandaran utama skuad Bawah 15- tahun (B-15) kendalian P. Maniam dalam misi mencipta impak pada Festival Piala Dunia B-15 2026 di Baku, Azerbaijan, dari 24 hingga 30 Oktober ini.

Maniam berkata, biarpun Malaysia tidak memiliki kelebihan fizikal berbanding pencabar antarabangsa, skuad muda negara mempunyai kekuatan tersendiri menerusi aspek taktikal yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang kejohanan.

Katanya, pendekatan itu membuka ruang kepada pemain untuk membuktikan kemampuan mereka dalam mengimbangi kekurangan fizikal menerusi disiplin permainan, pemahaman taktikal dan pelaksanaan strategi yang tepat di atas padang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malaysia biasanya kita kurang dari segi fizikal. Kita tidak mempunyai pemain yang besar dari segi fizikal, tetapi kita bagus dari segi taktikal. Ini peluang untuk pemain mempamerkan kelebihan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam usaha memastikan perancangan itu dapat diterjemahkan kepada prestasi di padang, Maniam berkata, persiapan pasukan ketika ini berada pada tahap terbaik, dengan pemain turut memperoleh pendedahan menerusi saingan Piala Belia.

Selain itu katanya, penyertaan empat pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT) turut menjadi sebahagian daripada usaha memperkemaskan kekuatan skuad, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan.

“Baki masa persiapan akan dimanfaatkan untuk menyelaraskan persefahaman antara pemain, khususnya dalam memastikan setiap individu memahami peranan masing-masing serta mampu melaksanakan perancangan taktikal.

“Kita tidak boleh mengambil mudah. Kita kena menang perlawanan awal untuk mendapatkan momentum positif. Kita tidak boleh kalah,” katanya.

Bagaimanapun, Maniam memilih pendekatan satu perlawanan pada satu masa dan tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan terhadap pemain muda negara, sebaliknya memberi tumpuan kepada persiapan serta pelaksanaan strategi bagi setiap perlawanan.

Edisi sulung Festival Piala Dunia B-15 FIFA 2026 itu menyaksikan 189 pasukan dari enam konfederasi diundi ke dalam 32 kumpulan, dengan perlawanan menggunakan format lapan pemain menentang lapan pemain dan peringkat kelayakan secara liga satu pusingan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan H dan akan memulakan kempen menentang Dominica pada 24 Oktober, sebelum berdepan Syria pada 25 Oktober pada pukul 1 tengah hari, serta Ethiopia pada hari sama, pukul 7.45 malam.

Cabaran skuad muda negara diteruskan pada 26 Oktober apabila Malaysia dijadual bertemu Hungary pada pukul 3.30 petang dan Mexico pada pukul 10.15 malam, dengan semua perlawanan berlangsung di Hövsan Competition Complex, Baku.

Dalam saingan yang menuntut ketahanan serta penyesuaian pantas terhadap format permainan, keupayaan Maniam merangka percaturan taktikal dan memastikan pemain menterjemahkan strategi di atas padang bakal menjadi antara aspek penting dalam usaha Malaysia memburu keputusan positif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini