WASHINGTON: Ketua penyampai berita antarabangsa ikonik CNN, Christiane Amanpour mengumumkan rancangan pada Isnin untuk meninggalkan rangkaian berita berkenaan selepas 43 tahun berkhidmat bersama syarikat tersebut.
Amanpour, 68, seolah-olah menyindir kepimpinan CNN dalam pengumuman itu ketika rangkaian berita berkenaan berdepan kritikan daripada sebahagian kakitangan susulan pengambilalihan oleh bilionair sekutu Trump, David Ellison.
“Selepas berbulan-bulan berfikir dan beberapa malam tidak dapat tidur, saya telah memutuskan untuk berpisah daripada CNN, rakan kongsi saya selama 43 tahun yang hebat!” kata Amanpour.
Wartawan tersohor itu menambah bahawa beliau menantikan projek-projek baharu yang menarik pada masa hadapan dan akan sentiasa menyokong CNN serta mempertahankan sejarah kewartawanan bebasnya.
Pengumuman peletakan jawatan Amanpour dibuat sebulan selepas penganalisis jemputan CNN, Kara Swisher turut mengumumkan pengundurannya daripada rangkaian itu berikutan kelulusan penggabungan bernilai AS$100 bilion (RM408 bilion) antara Paramount dan Warner Bros. Discovery yang diterajui oleh David dan Larry Ellison.
Meskipun kontraknya berlanjutan sehingga penghujung tahun, Swisher tanpa berselindung meluahkan pandangannya terhadap keluarga Ellison dengan menyifatkan mereka sebagai pemilik media yang sangat buruk.
Sementara itu, Pengerusi CNN, Mark Thompson berkongsi berita pengunduran wartawan veteran itu menerusi memo kepada warga kerja syarikat.
“Christiane (Amanpour) telah mempertimbangkan keputusan ini dengan teliti dan beliau bersama saya telah berbincang mengenainya selama beberapa bulan.
“Seperti kebanyakan warga kerja CNN yang mendengar berita ini hari ini, saya amat sedih atas pemergian beliau tetapi saya menerima bahawa ini merupakan masa yang tepat buat beliau, baik dari segi peribadi mahupun profesional,” kata Thompson.
Amanpour tidak menyebut mengenai status kesihatannya dalam pengumuman berkenaan di mana beliau dipercayai sedang menerima rawatan kanser.
Beliau kali pertama didiagnosis menghidap kanser ovari jenis jarang jumpa pada 2021 dan telah menjalani pembedahan serta kemoterapi bagi merawat penyakit tersebut. – AGENSI











