KUALA LUMPUR: Pelakon, Ruhainies mendakwa mengalami kerugian mencecah jutaan ringgit selepas beberapa projek kerjasama bersama jenama terkenal dibatalkan atau ditangguhkan susulan isu fitnah yang dikaitkan dengan dirinya.
Peguam yang mewakilinya, Mohd Haizal Ayop daripada EzrilLaw Firm, berkata dakwaan fitnah berkenaan bukan sahaja menjejaskan reputasi anak guamnya, malah memberi kesan besar terhadap kerjaya, sumber pendapatan dan keluarganya.
Menurut Mohd Haizal, beberapa syarikat yang sebelum ini bersetuju menjalinkan kerjasama dengan Ruhainies terpaksa menangguhkan projek masing-masing susulan isu berkenaan.
“Keadaan ini menjejaskan nama baik, keluarga dan kerjaya Ruhainies. Beberapa syarikat yang sebelum ini bersetuju untuk berkolaborasi telah mengambil keputusan menangguhkan projek kerana isu fitnah ini.
“Ini secara tidak langsung menjejaskan punca pendapatan Ruhainies. Kesannya bukan sekadar pada bilangan perkongsian di media sosial, tetapi turut melibatkan maruah keluarga dan punca rezeki.
“Kita tidak boleh menunggu lagi dan perlu mengambil tindakan tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media bersama wakil peguam di Cili Kampung, Sri Hartamas, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ruhainies berkata kerugian yang dialaminya dianggarkan mencecah jutaan ringgit berikutan pembatalan dan penangguhan pelbagai projek bersama jenama tertentu.
“Kerugian dari segi kerjaya dianggarkan mencecah jutaan ringgit kerana melibatkan banyak jenama dan projek kerjasama.
“Ada yang dibatalkan dan ada yang ditangguhkan. Namun, fokus utama saya adalah kesihatan mental, bukannya wang ringgit semata-mata,” katanya.
Mengulas kesan yang dialami, pelakon drama Terjerat itu berkata tekanan berdepan isu berkenaan turut menjejaskan kesihatan mental, sekali gus mengganggu kelancaran urusan kerja dan kehidupan hariannya.
“Kesan paling besar adalah terhadap mental. Apabila mental terganggu, urusan kerja dan kehidupan harian turut terjejas.
“Ia bukan sahaja memberi kesan kepada saya, tetapi juga kepada keluarga. Saya perlu menjaga perasaan ibu bapa,” jelasnya.
Ruhainies turut mengakui berdepan tekanan sepanjang melalui situasi berkenaan, namun menegaskan bahawa kesabarannya juga mempunyai batas.
“Mestilah saya rasa tertekan kerana saya hanya manusia biasa dan kesabaran ada hadnya.
“Ibu bapa selalu bertanyakan mengapa saya tidak mengambil tindakan dari dahulu dan membiarkan maruah dipijak.
“Saya jelaskan bahawa tindakan undang-undang memerlukan proses yang panjang. Apabila saya sudah bersedia, saya akan selesaikan isu ini sepenuhnya,” katanya.
Terdahulu, Ruhainies memaklumkan sudah melantik dua peguam daripada dua firma guaman berbeza bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu yang didakwa menyebarkan fitnah membabitkan dirinya.
Ketiga-tiga individu berkenaan dituntut mengemukakan permohonan maaf, memberikan akujanji untuk menarik balik atau memadam kenyataan berunsur fitnah, menghentikan penyebaran tohmahan serta menanggung kos guaman.
Sekiranya tuntutan berkenaan gagal dipenuhi dalam tempoh tujuh hari, pihak Ruhainies akan menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta.











