Kalau saya garang, lebih baik saya kerja di penjara - Zul Ariffin - Utusan Malaysia

Kalau saya garang, lebih baik saya kerja di penjara – Zul Ariffin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zul Ariffin mengakui tidak kisah untuk menjayakan sesebuah babak berkali-kali ketika penggambaran demi memastikan hasil lakonannya memenuhi kehendak pengarah.

Menurut Zul, dia sentiasa mengutamakan kepuasan pengarah dalam setiap produksi yang dibintanginya agar hasilnya berkualiti dan berbaloi untuk dipertontonkan kepada umum.

“Saya tidak pernah marah kalau perlu melakukan sesebuah babak berkali-kali. Saya tidak kisah berapa kali perlu ulang, asalkan pengarah mendapat hasil yang diinginkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi saya, apabila pengarah sudah berpuas hati, barulah saya boleh pulang dengan hati yang senang.
Kalau pengarah belum berpuas hati, saya mahu terus mencuba sehingga dia benar-benar mendapat apa yang diinginkan,” katanya ketika ditemui di majlis tayang perdana filem Pemuja Syaitan, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Zul tidak menolak kemungkinan sikapnya yang terlalu fokus ketika bekerja menyebabkan segelintir pengarah berasa segan atau takut untuk memintanya mengulang babak.

“Mungkin sebab muka saya nampak garang. Kalau saya benar-benar garang, lebih baik saya bekerja di Jabatan Penjara. Saya ini pelakon, bukannya anggota polis sebenar.

“Mungkin cara saya ketika bekerja nampak serius, tetapi objektif saya cuma satu, iaitu menghasilkan karya yang terbaik. Kita semua berada di lokasi penggambaran kerana mahu menghasilkan sesuatu yang bagus untuk dipersembahkan kepada penonton,” jelasnya.

Tambah Zul, dia juga tidak teragak-agak meminta sesuatu babak dilakukan semula sekiranya merasakan persembahannya masih boleh diperbaiki.

“Saya jenis yang kalau rasa sesuatu babak belum menjadi, saya mahu lakukan semula sebelum berpindah kepada babak seterusnya. Bagi saya, seseorang pelakon sentiasa mempunyai ruang untuk memperbaiki kemahiran.

“Tidak bermakna apabila sudah mencapai tahap tertentu, lakonan kita sudah sempurna. Setiap hari kita masih belajar. Tidak kisahlah apabila usia sudah mencecah 50 atau 60 tahun sekalipun, proses pembelajaran itu tetap berterusan,” kongsinya.

Pun begitu, Zul menegaskan kesungguhan yang ditunjukkan ketika bekerja bukan bertujuan menyusahkan mana-mana pihak, sebaliknya mahu memastikan masa dan tenaga seluruh pasukan produksi berbaloi.

“Kita perlu faham bahawa kerja di lokasi penggambaran bukan berlangsung sejam atau dua jam sahaja. Kadangkala ada 50 hingga 100 orang yang terlibat.

“Jadi, kita tidak boleh bekerja sambil lewa atau membuang masa orang lain kerana semuanya mempunyai jadual masing-masing.

“Sebab itu, sehingga hari ini, kalau pengarah belum mendapat hasil yang diinginkan, saya langsung tidak kisah untuk mengulang babak berkali-kali. Asalkan hasilnya menjadi seperti yang diharapkan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini