KUALA LUMPUR: Kebergantungan kepada reputasi institusi antarabangsa tanpa penelitian mencukupi dikenal pasti sebagai antara kelemahan dalam pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) terhadap syarikat pemula teknologi akuakultur Indonesia, eFishery sehingga kerugian RM160 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelemahan itu berlaku apabila keputusan pelaburan dibuat berdasarkan keyakinan terhadap pemain antarabangsa termasuk SoftBank, tanpa memastikan penilaian risiko dilaksanakan secukupnya.
Beliau berkata, KWAP mempunyai proses dan jawatankuasa pelaburan yang ketat sebelum sesuatu keputusan dibawa kepada Lembaga.
“Saya lihat umpamanya dalam pelaburan di Jakarta yang baru-baru ini itu memang satu kelemahan besar kerana mereka hanya ikut trend antarabangsa kerana syarikat-syarikat besar yang berupaya di Perancis dan berpeluang ikut.
“Dalam kes ini, ia seolah-olah kerana bergantung kepada SoftBank, (dengan anggapan) tidak mungkin mereka melabur dengan begitu cuai. Tetapi kenyataannya begitu. Mengharapkan beberapa agensi institusi antarabangsa di Jepun dan Eropah dan memberikan panduan kepada kita tidak sepertinya betul.
“Jadi yang dilakukan ialah memperketatkan lagi peraturan bukan saja ikut trend antarabangsa tetapi juga bertanggungjawab dalam kes ini, kerana dalam kes itu memang saya akui,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang meminta penjelasan mengenai pihak bertanggungjawab terhadap kerugian pelaburan KWAP di Indonesia serta langkah memperketat proses penilaian pelaburan dana awam.
Tambah Anwar, kerajaan menerima teguran supaya proses penilaian pelaburan diperketatkan bagi memastikan amanah menguruskan wang rakyat terus terpelihara, meskipun prosedur sedia ada KWAP sudah ketat.
“Saya saya terima peringatan bahawa dalam menjaga amanah wang rakyat itu harus ada beberapa proses yang lebih ketat lagi. Walaupun saya lihat itu terus terang, memang prosesnya ketat,” katanya. – UTUSAN











