Aisha Retno cedera kaki kanan, yakin pulih sebelum pementasan PGL - Utusan Malaysia

Aisha Retno cedera kaki kanan, yakin pulih sebelum pementasan PGL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi, Aisha Retno mengalami kecederaan pada kaki kanan selepas terjatuh di rumahnya, baru-baru ini, sehingga menyukarkannya berjalan seperti biasa.

Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam, berkata kecederaan itu semakin terasa berikutan jadual seni yang padat sehingga membataskan masa untuk berehat dan menjalani proses pemulihan.

“Kecederaan kaki saya sebenarnya tidak parah. Mungkin cara saya berjalan nampak seperti serius. Saya hanya terjatuh, tetapi mungkin disebabkan tiada masa mencukupi untuk pemulihan (recovery), keadaan itu menjadi sedikit teruk.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, setakat ini keadaan saya okey dan saya berada dalam jagaan yang baik.

“Saya ada mama, keluarga dan orang sekeliling yang sangat mengambil berat tentang keadaan saya,” katanya.

Aisha ditemui pada Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 yang berlangsung di Selangor International Trade Centre (SITC), di sini, baru-baru ini.

Menurut penyanyi lagu Sutera itu, kesakitan pada kaki kanannya lebih dirasai ketika menjalani sesi latihan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL).

“Bukan terjatuh ketika latihan (rehearsal), sebaliknya kesakitan itu lebih terasa semasa latihan. Saya terjatuh sehari sebelum itu di rumah.

“Tadi pun ketika membuat persembahan, saya masih terasa sakit,” katanya.

Mengulas kemungkinan kecederaan itu menjejaskan penglibatannya dalam pementasan teater muzikal PGL tidak lama lagi, Aisha optimis mampu pulih sebelum pementasan berkenaan berlangsung.

“Untuk pementasan PGL, jika dipermudahkan, kita masih ada dua minggu untuk tempoh pemulihan. Insya-Allah, sempat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aisha bukan sahaja membuat persembahan pada AMT 2026, malah turut dinobatkan sebagai pemenang kategori Selebriti Viral Terhangat.

Trofi kemenangan itu disampaikan oleh penyanyi Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini di atas pentas.

“Terima kasih, Allah, atas rezeki ini. Insya-Allah, saya akan buat lebih baik lagi dan tidak sabar untuk menghasilkan lebih banyak muzik.

“Alhamdulillah, sekarang keadaan saya semakin okey. Lebih-lebih lagi apabila menerima anugerah ini, bertambah okeylah saya,” katanya.

Terdahulu, Aisha mencuri perhatian apabila dilihat berjalan perlahan dan menghadapi kesukaran menaiki tangga selepas diumumkan sebagai pemenang kategori Selebriti Viral Terhangat pada AMT 2026. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini