KUALA LUMPUR: Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menyasarkan penganjuran sekurang-kurangnya 27 persidangan antarabangsa pada tahun 2027 yang dijangka menarik kehadiran lebih 27,170 delegasi dari seluruh dunia.
Sasaran positif itu dibuat berikutan kejayaan pusat konvensyen berkenaan merekodkan pencapaian memberangsangkan apabila berjaya menarik lebih 40,093 delegasi menerusi penganjuran 43 persidangan antarabangsa sepanjang tahun ini.
Bagi memperkukuh penawaran perkhidmatan serta daya saingnya, KLCC mengumumkan pengenalan inisiatif Flavours of KLCC 2027 yang mengetengahkan pelbagai pilihan sajian, hospitaliti dan perkhidmatan sokongan eksklusif untuk acara korporat, persidangan serta majlis keraian.
Timbalan Pengurus Besar KLCC, Robert Hatton-Jones berkata, inisiatif berkenaan memberi ruang kepada pelanggan dan rakan niaga untuk merasai sendiri kepelbagaian sajian serta kualiti perkhidmatan yang ditawarkan mengikut kesesuaian pelbagai skala acara.
“Program ini memberi peluang kepada kami untuk menghimpunkan hasil kerja terbaik pasukan sepanjang tahun, selain membolehkan rakan niaga merasai sendiri pengalaman hospitaliti yang ditawarkan.
“Antara hidangan yang menjadi tumpuan utama merangkumi kambing panggang, yee sang sempena Tahun Baharu Cina, laksa Sarawak serta pelbagai variasi pembuka selera dan pencuci mulut,” katanya pada majlis pengenalan Flavours of KLCC 2027 di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Cef Eksekutif KLCC, Hisham Jaafar berkata, setiap penyediaan menu dirangka khas dengan mengambil kira tema acara, profil tetamu serta pengalaman unik yang ingin disampaikan oleh pihak penganjur.
“Setiap acara mempunyai identiti tersendiri dan pilihan menu perlu mencerminkan perkara berkenaan. Tugas kami adalah memahami keperluan pelanggan sebelum menghasilkan sajian bernilai tinggi yang meninggalkan kesan berpanjangan,” jelasnya.
Sebagai bukti komitmen terhadap kualiti dan kelestarian, KLCC turut berjaya meraih pensijilan ISO 20121 bagi Pengurusan Kelestarian Acara pada tahun 2026, di samping merangkul Anugerah Perdana Menteri Hibiscus bagi kategori Pusat Konvensyen dan Pameran Lestari. –UTUSAN











