PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa untuk campur tangan berhubung kematian seorang tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, awal bulan ini.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, penjelasan kononnya mangsa, Noorizwan Zulkefly, 42, meninggal dunia akibat ‘terjatuh dalam lokap’ sebagai sesuatu yang tidak munasabah dan tidak boleh diterima berdasarkan kecederaan parah yang dialami.
Malah, beliau turut mendesak agar pegawai penyiasat dan kesemua anggota polis yang terlibat dalam proses siasatan digantung tugas serta-merta.
“Antara kecederaan yang dilaporkan dialami beliau termasuk bengkak pada kaki dan lutut, luka di belakang badan serta pergelangan tangan, enam tulang rusuk patah, kecederaan serius pada kepala, serta pendarahan pada usus dan otak.
“Saya perlu tegaskan bahawa Allahyarham Norizwan telah pun meninggal dunia dan tidak lagi berkemampuan untuk mempertahankan dirinya. Sekiranya beliau mempunyai rekod jenayah lampau sekalipun penahanannya adalah bagi tujuan siasatan mengikut undang-undang,” katanya semasa sidang akhbar di Dewan Rakyat hari ini.
Pada 7 Oktober lalu, peguam, N. Surendran mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera mengklasifikasikan kematian seorang tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Surendran berkata, tuntutan itu dibuat susulan penemuan kecederaan serius pada tubuh Noorizwan yang meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) pada 1 Oktober lalu.
Dalam pada itu, Rayer turut menuntut agar PDRM menjelaskan kaedah yang digunakan semasa proses soal siasat dilakukan terhadapnya.
Beliau juga meminta PDRM mendedahkan identiti serta jumlah pegawai penyiasat dan anggota interogasi yang terlibat secara terbuka.
“Kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan perlu dibuka supaya pegawai yang menyiasat kes ini digantung tugas,” ujarnya. – UTUSAN











