SHAH ALAM: Gara-gara tidak dapat mencari khidmat jurusolek, pelakon, Fattah Amin bersyukur apabila isterinya, Amira Othman tampil sebagai bidan terjun menyelamatkan penampilannya di Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026, malam tadi.
Kongsi Fattah, selalunya dia akan bersiap menggunakan khidmat jurusolek dan penata gaya profesional setiap kali menghadiri majlis besar namun sayangnya, tidak ada yang lapang pada malam tadi.
“Untuk pengetahuan semua, hari ini sebenarnya saya tak dapat ‘lock’ jurusolek. Semua sibuk dan sudah ada artis masing-masing.
“Jadi, jurusolek saya hari ini sebenarnya Amira Othman.
“Okay hasil solekan dia untuk saya. Terima kasih. Lepas ini boleh hubungi dia kalau ada artis yang memerlukan khidmatnya,” katanya sambil berseloroh.
Manakala, isterinya, Amira Othman tampil anggun menggayakan busana berbaju biru tersipu-sipu mendengar pengakuan suaminya.
Fattah dan Amira ditemui semasa sidang media Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC), di sini, malam tadi.
Dalam masa sama, malam kemuncak AMT malam tadi turut menyaksikan Fattah sekali lagi mempertahankan kemenangannya menerusi trofi Selebriti Maskulin Terhangat dua tahun berturut-turut.
“Sebenarnya kami datang dengan tugas sebagai penyampai sahaja. Kami tahu tercalon, tetapi tak rasa menang. Apabila diumum sebagai pemenang, terkejut tadi.
“Saya rasa ramai lagi yang lebih maskulin daripada saya. Saya tak rasa layak, tetapi rezeki. Rezeki anak juga. Alhamdulillah, peminat yang mengundi untuk tahun kedua ini,” katanya.
Mengulas mengenai cara penjagaan diri, Fattah berkata dia memang seorang yang mementingkan penampilan jadi dia percaya kepada khidmat profesional untuk memilih padanan busana bersesuaian wajahnya.
“Sebagai selebriti, kita sentiasa menjaga dari ‘head to toe’, kerana tahu bila kita keluar, ramai mata memandang. Jadi dari segi pakaian apa yang kita pilih, kena sentiasa nampak kemas dan sesuai dengan acara. Jangan tersalah dress code bila pergi mana-mana.
“Saya memang sentiasa menjagalah penampilan saya. Dari rambut, muka dan sebagainya. Cuma kadang-kadang kalau bila shooting itu kita terikat dengan karakter.
“Kadang-kadang kalau perasan sebenarnya rambut saya panjang sebab karakter saya yang tengah tayang sekarang ini. Jadi bila dah habis karakter itu, kita kemaskan balik rambut kita,” katanya.
Perkara sama turut dikongsikan pelakon Mat Kilau itu khususnya kepada pendatang baharu.
“Nasihat kepada artis-artis yang baru, kita memang perlu untuk untuk melantik ‘glam team’. Sebab kamera di mana-mana, jadi kalau baju kita tak sesuai dengan acara, macam mana.
“Jadi bila ada stylist ini senang, dia terus fikirkan dan kita terus siap. Mereka akan bagi saya pilihan. Jadi memudahkan kerja kita,” katanya. -UTUSAN











