GOLONGAN belia membentuk lebih 40 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia. Setiap tahun golongan ini dianggarkan bertambah sebanyak 1.1 peratus.
Berdasarkan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) had umur belia di negara kita ditetapkan antara 15 hingga 30 tahun, berbanding sebelumnya 15 hingga 40 tahun.
Mereka dianggap sebagai golongan yang bertenaga, aktif, produktif, kreatif dan inovatif. Justeru, peranan belia bagi menjayakan proses pembangunan dan kemajuan negara amat penting terutama dalam menyumbang tenaga kerja di negara kita.
Kuasa mereka dalam politik juga tidak boleh diperkecilkan. Mereka penting dalam politik bukan sahaja dari segi kuasa mengundi tetapi juga sebagai pemimpin pelapis atau pemimpin masa depan negara.
Pada era tahun 1960-an hingga 1980-an, golongan belia memainkan peranan yang cukup signifikan sebagai kumpulan pendesak yang dapat mempengaruhi keputusan dan pembentukan dasar kerajaan.
Contoh, tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pemerkasaan Bahasa Melayu adalah hasil daripada perjuangan anak-anak muda yang memiliki idealisme perjuangan yang tinggi ketika itu.
Demikian juga suatu ketika dulu berlaku Demonstrasi Baling 1974 yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu memperjuangkan isu kemiskinan di Baling sehingga beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun di Kem Tahanan Kamunting, Perak.
Demonstrasi itu telah disertai oleh anak-anak muda dan mahasiswa yang bersemangat kental dalam memperjuangkan nasib rakyat.
Dalam mana-mana parti politik, golongan pemuda mempunyai sayapnya sendiri yang berpengaruh besar dalam menentukan perjalanan dan kekuatan parti.
Dulu, Pemuda Umno sering dianggap sebagai the angry young men kerana mereka begitu bersemangat dalam memperjuangkan isu-isu rakyat, malah perjuangan mereka juga meluas ke peringkat isu-isu serantau dan antarabangsa.
Ketika berlakunya perang Vietnam (1945-1975), golongan pemuda bersama-sama dengan rakan-rakan serantau mereka telah bangkit menentang pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Vietnam.
Demikian juga dalam isu Palestin, golongan pemuda sama ada yang berada dalam parti-parti politik, persatuan-persatuan belia dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) lantang menyuarakan bantahan mereka terhadap Zionis Israel yang berlaku zalim ke atas rakyat Palestin.
Namun, sejak tahun 1990-an gerakan belia di negara ini dilihat tidak begitu menyerlah lagi. Mereka tidak begitu berminat lagi untuk menyertai pertubuhan-pertubuhan belia dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).
Hari ini mereka tidak lagi aktif dalam menyuara dan memperjuangkan isu-isu masyarakat, bahkan mereka kelesuan dalam melakukan kerja-kerja kemasyarakatan dan kesukarelawan.
Kewibawaan dan karisma pemimpin dan kepemimpinan belia juga tidak lagi menyerlah dan mereka lebih cenderung mengikut rentak politik kepartian.
Penyertaan belia dalam persatuan-persatuan belia tidak begitu memberangsangkan.
Pernah satu kajian dibuat oleh Dr. Hussain Mohamad mengenai penyertaan belia dalam persatuan belia mendapati bahawa kira-kira 60 peratus (5.5 juta) belia di negara ini tidak menyertai mana-mana pertubuhan belia.
Itu kajian yang dijalankan lebih 10 tahun yang lalu. Bagaimana pula kedudukannya pada hari ini? Sudah tentu ia jauh lebih merosot jika tidak ada usaha membetulkan keadaan.
Ramai pengkaji berpendapat bahawa penglibatan belia dalam kerja-kerja kemasyarakatan juga sudah mengalami zaman kelesuan atau zaman gerhana.
Pada hemat penulis, antara punca berlakunya fenomena kelesuan belia dalam kerja-kerja kesukarelawan hari ini adalah disebabkan kuasa atau pengaruh teknologi maklumat yang telah menjadikan belia kita bersikap pesimis terhadap hal ehwal kemasyarakatan.
Mereka kini lebih terfokus kepada media sosial seperti Facebook, X, Youtube dan sebagainya. Mungkin media sosial tidaklah secara mutlak menyebabkan mereka bersikap negatif sama sekali dalam hal-hal kesukarelawan dan kemasyarakatan.
Ketika pandemik Covid-19, golongan ini melalui ‘suara netizen’ dalam media sosial telah menunjukkan keprihatinan mereka untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan bagi membantu masyarakat yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Namun, ia tidak terorganisasi dengan jelas dan berkekalan.
Dalam konteks ini, Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) wajar dijadikan platform untuk membincang dan meneliti isu-isu kelesuan belia berpartisipasi dalam persatuan-persatuan belia.
Walaupun dunia media sosial dianggap telah menguasai jiwa dan minda mereka, namun usaha mesti dilakukan untuk mengorientasikan golongan belia ke arah aktiviti-aktiviti yang sihat dan berfaedah melalui persatuan- persatuan belia.
Belia kita seharusnya berupaya membina hubungan kemasyarakatan yang berkesan dengan melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan atau kesukarelawanan.
Persatuan-persatuan belia mesti menyusun strategi untuk menarik lebih ramai belia menyertai persatuan-persatuan belia.
Persatuan belia mesti berupaya menyediakan program-program yang dapat menggalak belia kita menyertai aktiviti kesukarelawan yang dapat menyumbang secara positif kepada masyarakat setempat.
Bagi membantu dan merangsang kegiatan belia maka kerajaan perlulah menyalurkan peruntukan secukupnya kepada persatuan-persatuan belia untuk melaksanakan aktiviti mereka yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai sebuah NGO yang didaftar di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang bergerak sebagai badan induk bagi menyelaras pertubuhan belia dan pelajar seharusnya memainkan peranan dalam menggalakkan belia menyertai persatuan-persatuan belia.
MBM sendiri harus menjadi pemangkin aktif menyelaras aktiviti-aktiviti pertubuhan belia di negara ini. Media sosial harus digunakan secara kreatif dalam menarik minat belia menyertai persatuan-persatuan belia.
Mungkin sudah sampainya masanya pihak terbabit mewujudkan “persatuan belia maya” atau “belia netizen” secara tersusun dan terarah untuk menarik dan merangsang belia kita melakukan kerja-kerja kesukarelawan.
Satu lagi isu yang wajar dilihat oleh MBM ialah kesan penurunan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun menerusi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 menyebabkan kesukaran menambah ahli dan kepimpinan persatuan belia.
Jika kita perhalusi penurunan had umur ini menyebabkan berlakunya pengurangan keanggotaan disebabkan had umur yang telah diubah itu.
Sayugia juga difahami bahawa kebanyakan belia dalam lingkungan umur 15 hingga 30 tahun mempunyai komitmen sebagai pelajar dan mahasiswa sehingga sukar bagi persatuan melaksana aktiviti, selain sukar untuk mengekalkan kepimpinan atasan serta mencari pelapis kepimpinan yang bersifat matang dan berwibawa. Justeru, MBM perlu membuat sesuatu dalam hal ini. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.











