JOHOR BAHRU: Peperiksaan sekolah agama di negeri ini akan diteruskan mengikut jadual walaupun semua sekolah dan institusi pendidikan di Johor diarah tutup selama lima hari bermula esok akibat keadaan jerebu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, keputusan itu melibatkan beberapa peperiksaan utama di bawah kelolaan Lembaga Peperiksaan Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Katanya, calon yang menduduki peperiksaan diwajibkan memakai pelitup muka, manakala yang tidak terlibat tidak perlu hadir dan akan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“BPI JAINJ menetapkan Peperiksaan Akhir Tahun bagi murid Tahap 1 (Darjah 1, 2 dan 3) di Sekolah Agama Kerajaan Johor diteruskan mengikut jadual asal dari 19 hingga 23 Oktober ini.
“Turut diteruskan ialah Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) pada tarikh yang sama, selain Peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama (SMRA) bagi mata pelajaran Lughah Arabiah Muasirah (LAM) di daerah Batu Pahat pada 20 Oktober,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, tempoh pelaksanaan bagi Ujian Lisan Al-Quran Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) Tahun 2026 murid darjah lima dilanjutkan sehingga 21 Oktober ini mengikut kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Ujian Lisan Al-Quran dan Hafazan Peperiksaan Akhir Tahun murid Tahap 1 dan 2 (Darjah 1 hingga 5) pula dilanjutkan sehingga 5 November depan,” katanya.
Menurut beliau lagi, pengumuman itu selari dengan pengecualian diberi bagi pelaksanaan peperiksaan tertentu yang perlu diteruskan tertakluk kepada penyelarasan dan ketetapan pihak berkuasa berkaitan.
“Calon hendaklah hadir pada hari peperiksaan dijalankan sahaja dan hendaklah pulang ke rumah masing-masing sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan pada hari berkenaan,” katanya.-UTUSAN











