JOHOR BAHRU: Pemandangan kawasan sekitar bandar raya Pasir Gudang, di sini termasuk di kawasan perumahan ‘hilang’ akibat diselubungi jerebu tebal, tertinggi dalam negara sejak beberapa hari lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia dari tingkat 20 Menara Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) mendapati keadaan jerebu di kawasan itu amat ketara sehingga menjejaskan jarak penglihatan masyarakat setempat.
Keadaan itu menggambarkan tahap kualiti udara yang masih membimbangkan meskipun rekod rasmi menunjukkan berlaku sedikit penurunan hari ini, berbanding semalam.
Setakat pukul 12 tengah hari, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Pasir Gudang mencatatkan penurunan kepada 198 berbanding 207 yang direkodkan, semalam.
Sementara itu, seorang penduduk Taman Bukit Dahlia, Badrull Hisyam Adam, 36, berkata, keadaan jerebu di Pasir Gudang menjadi semakin teruk sejak minggu ini berbanding beberapa minggu lalu.
“Keadaan ini menjejaskan urusan harian penduduk, bukan sahaja sesi persekolahan ditutup, tetapi urusan lain seperti membeli belah atau berkunjung ke rumah saudara juga terjejas.
“Kami amat berharap keadaan akan semakin pulih kerana bimbang sekiranya situasi ini berterusan, keadaan kesihatan penduduk khususnya anak-anak kecil dan warga emas akan terjejas,” kata bapa kepada lima cahaya mata berkenaan.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Pasir Gudang, Muhammad Zaki Supaid, 43, pula berkata, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan persekolahan anak-anak, tetapi juga urusan perniagaan masyarakat tempatan.
“Saya menjalankan perniagaan runcit, tetapi dalam keadaan jerebu jumlah pelanggan berkurang dengan mendadak. Mungkin mereka memilih untuk kekal berada di dalam rumah berbanding keluar berbelanja.
“Sekiranya keadaan ini berterusan, ia pasti turut menjejaskan pendapatan golongan peniaga seperti kami,” katanya yang telah menjalankan perniagaan sejak kira-kira 20 tahun lalu.-UTUSAN











