MUAR: Seorang wanita yang baru beberapa bulan bercerai, ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat dengan dua lelaki di sebuah hotel di daerah ini, semalam.
Wanita berusia 20 tahun itu ditahan bersama dua lelaki, masing-masing berusia 25 dan 18 tahun pada jam 11.05 malam dalam operasi berkala JAINJ di sekitar bandar ini.
Menurut JAINJ, penguat kuasa menunggu kira-kira tujuh minit sebelum pintu bilik berkenaan dibuka seorang lelaki yang memakai baju T dan seluar panjang.
“Penguat kuasa kemudian memperkenalkan diri sebelum memasuki bilik untuk menjalankan pemeriksaan lanjut. Ketika pemeriksaan dilakukan, keadaan bilik didapati gelap dan hanya diterangi cahaya dari lampu bilik air.
“Pemeriksaan lanjut menemukan seorang wanita berbaring di atas katil, manakala seorang lagi lelaki berada di atas tilam yang diletakkan di lantai. Ketiga-tiga mereka didapati bukan suami isteri dan tidak mempunyai hubungan mahram.
“Pemeriksaan mendapati bilik yang disewa itu mempunyai dua katil bujang, namun satu tilam dialihkan ke lantai. Ketika ditanya tujuan berada di bilik hotel berkenaan, mereka memberikan alasan hanya untuk berehat,” menurut kenyataan itu.
Menurut JAINJ, ketiga-tiga individu berkenaan dipercayai tinggal tidak jauh dari hotel terbabit, dengan seorang berasal dari Muar, manakala dua lagi dari Tangkak.
“Mereka kelihatan ketakutan selepas penguat kuasa memaklumkan mereka akan ditahan kerana disyaki berkhalwat. Semakan mendapati wanita terbabit berstatus janda yang baru bercerai, manakala kedua-dua lelaki berkenaan masih bujang.
“Ketiga-tiga mereka akan didakwa di Mahkamah Syariah Muar mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 atas kesalahan berkhalwat,” katanya.











