JOHOR BAHRU: PKR sah akan bertanding sembilan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.
Setiausaha Agungnya, Fuziah Salleh berkata, jika PRK bertanding sembilan kerusi, pastinya Pakatan Harapan (PH) akan bertanding lebih banyak kerusi.
“Calon kita lebih kurang sudah dimuktamadkan, insya-Allah.
“Perkara paling penting bagi kita di Melaka adalah memastikan persiapan sudah dilakukan dan kita akan memberikan saingan yang sangat baik, insya-Allah,” katanya selepas Majlis Perasmian Jelajah Pameran Francais Antarabangsa Zon Selatan di Johor Bahru, semalam.
Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama PKR dengan mana-mana parti, beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi tetapi PKR terbuka menerima bantuan bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) mampu memberikan saingan sengit.
Katanya, sebarang kemungkinan kerjasama dengan pihak lain membabitkan strategi politik, tidak wajar didedahkan buat masa ini.
Menurutnya, walaupun tiada persefahaman rasmi setakat ini, PKR mengalu-alukan pihak yang bersedia membantu gabungan itu menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Perbincangan rasmi itu tiada, tetapi kalau ada pihak yang mahu membantu, kita amat alu-alukan. Namun, dari segi persefahaman rasmi, memang tiada.
“Soal sama ada kita akan mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak lain itu melibatkan strategi, jadi soal strategi kita simpan dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Jelajah Pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2027 (Road to FIM2027) Zon Selatan, di sini semalam.
Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, PKR dijangka bertanding di sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka dengan senarai calon parti itu hampir dimuktamadkan dan akan diumumkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Oktober ini, serentak dengan calon parti komponen gabungan berkenaan.
Pengumuman itu turut diadakan bersama pelancaran jentera pilihan raya PH. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian pada 14 November depan. – UTUSAN











