Rumah kayu tradisional yang dahulunya kelihatan suram kini tampil lebih menarik selepas diberi sentuhan dekorasi berkonsepkan tradisional estetik.
Menurut pemiliknya, Nor Amirah Zainudin, 33, konsep tersebut menggabungkan cita rasa moden dan klasik tanpa menghilangkan identiti asal rumah papan berkenaan.
Katanya, transformasi itu dilakukan secara berperingkat bagi memberikan suasana baharu kepada kediaman berkenaan, selain mengekalkan ciri tradisional yang menjadi tarikan utamanya.
“Orang sekarang ramai yang memilih tema dan konsep moden.
“Jadi saya memberanikan diri menukar konsep rumah tradisional yang sebelum ini nampak gelap kepada warna lebih cerah.
“Dalam masa sama, saya mengekalkan tema perabot kayu supaya identiti rumah papan itu tidak hilang,” katanya kepada Seri.
Pemilihan warna yang cerah turut menjadikan suasana rumah kelihatan lebih lapang, selain membantu menyerlahkan elemen kayu yang menjadi ciri utama kediaman tersebut.

Cerewet pilih warna, cat
Menurut Nor Amirah, pilihan warna dan kualiti cat memainkan peranan penting dalam proses dekorasi kerana struktur asal rumah masih berada dalam keadaan kukuh dan tegap.
Katanya, penggunaan warna yang bersesuaian bukan sahaja memberi perubahan pada penampilan rumah, malah membantu menaikkan seri keseluruhan kediaman.
Perubahan warna itu dilakukan tanpa mengubah identiti utama rumah kayu, sebaliknya memberikan nafas baharu kepada ruang yang sebelum ini kelihatan lebih gelap.
Bagi pemilihan perabot pula, dia memastikan tema rumah papan terus terserlah.
Oleh itu, warna perabot diselaraskan supaya tidak kelihatan janggal dengan dinding dan elemen dekorasi lain.
“Pemilihan perabot memainkan peranan penting untuk mengekalkan tema rumah papan serta warna perabot mestilah diselaraskan bagi menaikkan lagi seri rumah tersebut,” katanya.
Susunan perabot juga dilakukan dengan mengambil kira keadaan ruang supaya kediaman kelihatan lebih kemas, teratur dan tidak terlalu sarat dengan hiasan.

Perubahan besar ruang tamu
Ruang tamu menjadi bahagian yang menerima paling banyak sentuhan dekorasi dalam proses transformasi rumah berkenaan.
Menurut Nor Amirah, ruang tersebut menjadi tumpuan kerana konsep tradisional estetik lebih jelas diterapkan menerusi susunan warna, perabot dan elemen dekorasi.
Katanya, setiap elemen disusun dengan teliti supaya ruang tamu kelihatan kemas dan teratur tanpa menghilangkan suasana tradisional.
“Ruang tamu menjadi bahagian yang paling banyak menerima sentuhan kerana di situlah terbentuknya konsep tradisional estetik melalui susunan warna, perabot dan dekorasi,” katanya.
Katanya, ruang makan turut diberi perhatian dalam proses dekorasi.
Ia dihiasi pelbagai barangan hiasan, daripada objek kecil sehinggalah kepada set meja makan.
“Setakat ini rumah masih lagi dalam proses penambahbaikan dan dekorasi secara berperingkat.
“Anggaran kasar kos buat masa sekarang lebih kurang RM30,000,” katanya.
Transformasi ini menunjukkan rumah kayu tradisional tidak semestinya perlu diubah sepenuhnya untuk tampil menarik, sebaliknya pemilihan warna, perabot dan susunan dekorasi yang tepat sudah mampu memberikan wajah baharu.
Pendekatan itu dalam masa sama membolehkan elemen tradisional terus dikekalkan, sambil disesuaikan dengan cita rasa pemilik dan gaya hidup semasa.










