AMK jamin calon muda diketengah pada PRN Melaka

AMK jamin calon muda diketengah pada PRN Melaka

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim pada Majlis Pra-Pelancaran Coffee Table Book Anwar Ibrahim Kisah yang Dirakam / A Life Recorded di Putrajaya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) memberi jaminan bahawa terdapat beberapa calon daripada sayap pemuda PKR itu bakal diketengahkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pihaknya sudah mengemukakan beberapa nama calon daripada kalangan pimpinan muda untuk dipertimbangkan oleh kepimpinan parti.

Pada masa sama, beliau juga yakin tokoh dan pimpinan muda di peringkat negeri itu mampu menjadi sandaran parti untuk mencipta kejutan pada PRN, November ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ya, Angkatan Muda Keadilan telah mengemukakan beberapa senarai nama calon daripada kalangan AMK untuk diketengahkan ataupun dipertimbangkan oleh pimpinan menjelang PRN Melaka ini.

“Saya yakin akan ada beberapa tokoh dan pimpinan muda di peringkat negeri Melaka itu yang menjadi pertaruhan dan juga sandaran kita untuk melakukan kejutan dalam PRN Melaka tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung PRN Melaka pada November ini selepas Majlis Pra-Pelancaran Coffee Table Book Anwar Ibrahim Kisah yang Dirakam / A Life Recorded di sini hari ini.

Ditanya mengenai jumlah atau peratus calon muda yang bakal diketengahkan, Muhammad Kamil berkata, pemilihan calon tidak seharusnya bergantung kepada faktor usia semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira keupayaan, kebolehan dan peluang untuk menang.

“Calon ini bukan hanya sekadar muda semata-mata, tetapi harus ada keupayaan, kebolehan dan aspek-aspek lain yang menjadi pertimbangan, winnability dan sebagainya. Dalam PRN Melaka ini saya boleh bagi jaminan bahawa memang akan ada calon daripada Angkatan Muda Keadilan yang akan diketengahkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, gerak kerja AMK bagi menghadapi PRN Melaka sudah bermula sejak sekian lama dan bukan hanya dilaksanakan menjelang pilihan raya.

Menurutnya, beberapa inisiatif pelancaran jentera juga sudah dilaksanakan sebagai sebahagian daripada persiapan parti menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.

“Di peringkat PKR dan Pakatan Harapan (PH) kita sudah bersedia untuk masuk ke dalam gelanggang PRN Melaka,” ujarnya.

Mengenai kemungkinan untuk bekerjasama dengan parti lain, Muhammad Kamil menjelaskan bahawa pendirian ketika ini adalah PH perlu bergerak berdasarkan kekuatan sendiri.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan sama ada PH akan bergerak secara bersendirian atau bekerjasama dengan parti lain masih tertakluk kepada keputusan kepimpinan tertinggi.

“Kalau (bergerak) solo atau pun tidak solo, tapi itu masih lagi akan diputuskan oleh pimpinan di peringkat atas. Tetapi saya percaya bahawa kita tidak harus bergantung kepada kekuatan dan juga kelemahan pihak lain. Kita harus bina kekuatan kita sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini