Polis tunggu laporan kimia, patalogi berkaitan punca kematian lelaki dalam lokap

Polis tunggu laporan kimia, patalogi berkaitan punca kematian lelaki dalam lokap

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis masih belum memuktadkan punca kematian seorang lelaki ketika dalam tahanan polis pada 1 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh Jabatan Kimia dan keputusan patologi bagi membantu menentukan punca sebenar kematian lelaki tempatan itu.

Beliau berkata, orang kena tahan (OKT) berusian 40-an berkenaan meninggal dunia kira-kira pukul 1.52 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Memuatkan artikel berkaitan…

“OKT dibawa ke hospital selepas dilaporkan tidak sihat sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Punca kematian buat masa ini masih belum dimuktamadkan dan kita masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kimia,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan oleh Bukit Aman berhubung perkara itu.

Jelasnya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan kini dikendalikan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

“Kita berharap semua pihak bersabar dan menunggu keputusan rasmi daripada patologi,” ujarnya.

Menurutnya, siasatan turut meneliti semua bukti bagi menentukan sama ada berlaku salah laku atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam pengendalian tahanan berkenaan.

Ditanya sama ada SOP penahanan dipatuhi dalam kes itu, Fadil mengesahkan prosedur berkenaan dipatuhi.

Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan Bukit Aman masih diteruskan bagi menentukan punca kematian serta meneliti kemungkinan berlaku salah laku atau pelanggaran SOP.

Mengulas lanjut, Fadil berkata, lelaki itu mempunyai 44 rekod lampau masing-masing 18 berkaitan narkotik dan 26 kesalahan jenayah.

Menurutnya, tangkapan terhadap lelaki dibuat selepas terdapat tiga laporan terhadap lelaki itu, masing-masing satu kes narkotik dan dua kes jenayah.

“Bagi kes narkotik yang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada tindakan lanjut pada 22 September lalu.

“Keputusan itu dibuat selepas siasatan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai kawalan atau pemilikan terhadap dadah yang dirampas.

“Dalam kes kedua yang disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, polis memperoleh bukti cap jari positif di lokasi kejadian,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya Timbalan Pendakwa Raya pada 1 Oktober lalu mengarahkan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan namun keputusan tiada tindakan lanjut dibuat pada 6 Oktober susulan kematian lelaki itu.

Bagi kes ketiga membabitkan kecurian patung Buddha yang disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, keputusan tiada tindakan lanjut turut dibuat pada 8 Oktober lalu atas alasan sama.

Dalam pada itu, Fadil turut mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat spekulasi berhubung kematian lelaki itu sementara menunggu hasil siasatan lengkap Bukit Aman.

Beliau berkata, polis memerlukan ruang untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan teliti dengan mengambil kira semua bukti berkaitan.

“Penyebaran maklumat yang tidak sahih bukan sahaja boleh mengelirukan, malah berpotensi menimbulkan kegusaran dan keresahan dalam kalangan masyarakat umum.

“Kita juga mengalu-alukan semua maklumat daripada orang awam berkaitan kes ini, sekiranya ada maklumat tambahan untuk disalurkan kepada pihak polis,” katanya.

Sebelum ini, Lawyers for Liberty (LFL) mendesak polis menyiasat kematian Noorizwan Zulkefly, 42 sebagai kes bunuh susulan dakwaan kecederaan serius pada tubuh lelaki itu.

Peguam keluarga, N Surendran, pada sidang media 7 Oktober lalu mendakwa pihak keluarga dimaklumkan mengenai kecederaan pada beberapa bahagian tubuh mangsa termasuk kepala dan tulang rusuk.

Keluarga turut mempersoalkan kelewatan hampir 18 jam memaklumkan kematian Noorizwan selain menuntut siasatan bebas dijalankan oleh Bukit Aman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini