BANGI: Cadangan supaya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli direhatkan susulan isu yang mengaitkannya dengan gerakan New Age Movement (NAM) sedang diteliti dengan mengambil kira pandangan pakar sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, perbincangan mengenai perkara itu telah diadakan, manakala pandangan pakar sedang diperoleh bagi membantu penelitian lanjut.
Katanya, soalan bertulis juga akan dikemukakan kepada Marhamah bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu berkenaan.
“Jadi, kita juga akan menyerahkan satu persoalan-persoalan bertulis, insya-Allah, yang akan dijawab oleh Yang Berhormat. Jadi, semua ini akan diselesaikan secara sebaik,” katanya ketika merasmikan Majlis Penerbitan Buku Agama Malaysia (MAPBA), di sini.
Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun bersama Marhamah susulan dakwaan mengaitkannya dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran NAM.
Isu itu mendapat perhatian selepas seorang pengguna Facebook berkongsi hantaran mengenai program yang dikaitkan dengan Marhamah, yang didakwa mempunyai unsur NAM.
Pada 18 September lalu, media melaporkan Marhamah memberi tempoh 24 jam kepada pihak yang menerbitkan atau menyebarkan dakwaan berkenaan supaya menarik balik penerbitan, menghentikan penyebaran serta membuat permohonan maaf dan pembetulan secara terbuka.
Menerusi kenyataan sebelum ini, Marhamah turut menafikan dakwaan terhadapnya. – UTUSAN









