Zambry yakin isu pelajar terpaksa 'ikat perut' dinoktahkan - Utusan Malaysia

Zambry yakin isu pelajar terpaksa ‘ikat perut’ dinoktahkan

ZAMBRY Abd. Kadir (tiga dari kanan) merasmikan Penutup Konvensyen KARISMA Pemimpin Muda IPT 2026 di UPSI di Tanjung Malim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Isu pelajar instisusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG) terpaksa ‘ikat perut’ kerana kekangan kewangan akan dinoktahkan menerusi peruntukan RM20 juta bagi Program Dapur Siswa Madani yang diumumkan dalam Belanjawan 2027.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerajaan bersetuju meningkatkan peruntukan bagi inisiatif itu susulan maklum balas Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kepada Kementerian Kewangan mengenai keperluan makanan dalam kalangan pelajar yang kurang berkemampuan.

“Pelaksanaan Dapur Siswa Madani disesuaikan mengikut keperluan dan kreativiti setiap institusi termasuk menyediakan ruang untuk pelajar memasak sendiri atau menyediakan makanan secara berkumpulan untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dasar kita, kita nak pastikan supaya setiap pelajar dapat terus belajar tanpa sebarang gangguan atau masalah yang berkaitan keperluan asas harian termasuk soal makan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Penutup Konvensyen KARISMA Pemimpin Muda IPT 2026 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Konvensyen ini menerima penyertaan 1,000 orang pensyarah muda dan pentadbir muda IPT yang terdiri daripada warga universiti awam, politeknik, kolej komuniti serta institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).

Jelasnya, kerajaan tidak menetapkan sasaran khusus bagi jumlah penerima kerana keutamaan adalah memastikan setiap pelajar yang memerlukan bantuan makanan mendapat akses kepada kemudahan berkenaan.

“Pendekatan yang fleksibel membolehkan institusi menyesuaikan pelaksanaan Dapur Siswa Madani berdasarkan jumlah pelajar yang memerlukan bantuan serta kemudahan sedia ada di kampus.

“Alhamdulillah, mereka tidak akan berlapar lagi. Datanglah (untuk mendapatkan bantuan). Kita harap masalah pelajar berlapar ini dapat diselesaikan menerusi inisiatif ini,” katanya.

Media melaporkan, kerajaan memperluas pelaksanaan Program Dapur Siswa Madani ke semua politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara menerusi peruntukan sebanyak RM20 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi menggalakkan penglibatan pelbagai pihak, kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai kepada mana-mana individu atau syarikat korporat yang menyumbang bahan makanan dan peralatan bagi tujuan program berkenaan.

Menerusi peruntukan tersebut, program itu akan menyediakan kemudahan peralatan memasak, sumbangan bahan makanan asas serta penawaran Menu Kasih Siswa pada harga serendah RM5. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini